Panggilan 'atuk' jadi kenangan, cucu maut dalam kebakaran

Panggilan 'atuk' jadi kenangan, cucu maut dalam kebakaran

am@hmetro.com.my

Melaka: “Panggilan ‘atuk, atuk’ pada Aidilfitri lalu menjadi memori terakhir yang saya dengar dari dia… kini hanya tinggal kenangan.”

Itu luahan pilu Harun Said, 69, apabila cucu keempatnya, Hafizul Hakim Alias, empat tahun maut dalam kebakaran di tingkat enam Pangsapuri Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik tidur sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.

Harun yang menetap di Bahau, Negeri Sembilan, menerima panggilan selepas solat Jumaat memaklumkan rumah anak sulungnya terbakar.

“Saya dan isteri terus bergegas ke Melaka, sangkakan kejadian kecil saja… tak sangka rupa-rupanya kami kehilangan cucu yang manja dengan kami.

“Arwah memang lincah dan aktif. Anak dan cucu ada pulang pada Syawal kelima. Dia berlari kegembiraan bersama sepupu yang lain. Mereka serta anak-anak lain turut bercuti bersama di Pahang,” katanya yang reda dengan kejadian ketika ditemui di PPR tersebut.

Sementara itu saksi kejadian, Muhammad Alif Haiqal Daud, 35, berkata dia berada di tingkat bawah dan mendengar jeritan ‘api-api’ lalu bergegas ke tingkat enam untuk membantu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penguasa Kanan Bomba II Mohd Shahrom Laji berkata pihaknya menerima laporan jam 2.30 petang dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh serta Cheng dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik kebakaran berjaya dikawal, anggota menemukan mangsa dalam sebuah bilik tidak berkunci dalam keadaan terbaring di lantai. Keadaan mangsa ada terjejas dengan kebakaran. Mangsa adalah anak keempat daripada lima beradik.

“Siasatan awal ibu mangsa (Siti Zaharah Borhan, 43) dan adik-beradik lain berusia 13 tahun hingga satu tahun berada dalam rumah ketika kejadian. Punca kematian dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi insiden itu petang tadi.

Menurutnya kebakaran memusnahkan kira-kira 30 peratus iaitu hanya satu bilik sahaja.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Rumput, Datuk Rais Yasin.

Mohd Shahrom.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top