Panglima Bridged Kem Sungai Buloh, Pengarah JKR Selangor antara 19 penerima darjah kebesaran Sultan Selangor

Panglima Bridged Kem Sungai Buloh, Pengarah JKR Selangor antara 19 penerima darjah kebesaran Sultan Selangor

am@hmetro.com.my

Klang: Panglima Briged Kesebelas Infantri Kem Sungai Buloh Brigedier Jeneral Datuk Pahlawan Safwan@Asri Ismail mendahului 19 penerima Darjah Kebesaran Kelas Kedua dan Kelas Ketiga sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada istiadat hari ini, Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) kepada lapan individu termasuk Safwan.

Turut menerima darjah kebesaran sama adalah Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Turkiye Ahmad Amiri Abu Bakar; Ketua Pengarah Pusat Hidrografi Nasional Laksamana Muda Dr Najhan Md Said, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin.

Empat penerima lain adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Mareena Mahpuhz, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie Berhad Mohd Haris Mohd Arshad, Penasihat Undang-Undang Kumpulan YTL Corporation Berhad Datin Seri Kathleen Chew Wai Lin serta Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Grab Holdings Limited Anthony Tan Ping Yeow.

Sultan Sharafuddin juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) kepada enam penerima termasuk Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor Shukri Ishak, Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur, Komander (Kehormat) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim serta Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (SMS) dan Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS) kepada masing-masing dua dan tiga penerima.

Bagaimanapun, penerima darjah kebesaran SMS dan SIS tidak membawa apa-apa gelaran.

Sementara itu, Istiadat Menjunjung Duli Sempena Pemasyhuran Gelaran Orang-Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor turut berlangsung membabitkan tiga individu.

Orang Besar Istana Raja Datuk Reza Raja Datuk Zaib Shah dikurniakan gelaran pangkat Engku Sri Paduka Diraja.

Turut dimasyhurkan sebagai Orang Besar Istana Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Ardy Esfandiari yang dikurniakan pangkat gelaran Tengku Orang Kaya Menteri Diraja.

Datuk Diraja Selangor Datuk Dr Aljafri Abdul Majid dikurniakan gelaran Dato’ Sri Maharaja Diraja.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin ke Istana Alam Shah diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan isteri, Datin Paduka Seri Afzal Fadini Abdul Aziz.

Istiadat berkenaan turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari bersama isteri, Datin Seri Masdiana Mohamed serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top