Skandal pengintipan dedah ketegangan hubungan Prabowo, Jokowi

Skandal pengintipan dedah ketegangan hubungan Prabowo, Jokowi

Jakarta: Polis Indonesia menamakan seorang lagi pegawai kanan sebagai suspek keempat dalam kes dakwaan pemasangan alat pengintip bagi memintas perbualan Presiden Prabowo Subianto ketika siasatan giat dijalankan bagi mengenal pasti motif di sebalik skandal yang mendedahkan keretakan hubungan antara presiden itu dengan pendahulunya, Joko Widodo atau Jokowi.

Skandal berkenaan menambah tekanan terhadap Prabowo ketika rakyat semakin tidak berpuas hati dengan dasar populisnya yang menelan belanja besar selain kemerosotan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara bernilai AS$1.5 trilion (kira-kira RM6.09 trilion).

Pada sidang media lewat malam Khamis, polis menamakan pegawai kanan berinisial SU sebagai suspek baharu. Beliau pernah mengetuai unit pemantauan di Agensi Siasatan Jenayah Indonesia dari 2010 hingga 2019 sebelum dikenal pasti media tempatan sebagai Slamet Uliandi.

Pengarah Unit Jenayah Siber, Suhermanto berkata, SU yang mengetuai unit teknologi maklumat agensi berkenaan dari 2021 hingga 2026 didakwa memberi kebenaran untuk melaksanakan operasi pemintasan itu.

“Apabila dua lagi suspek mahu memasang alat pintasan, mereka mendapatkan kelulusan daripada SU. Mereka turut meminta kebenarannya sebelum memadamkan rekod pintasan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, SU belum ditahan atas faktor kesihatan.

Tiga lagi pegawai kanan polis ditahan pada Selasa termasuk bekas Ketua Polis Negara yang juga bekas ketua staf Prabowo, Listyo Sigit Prabowo, yang dikenali sebagai penyokong setia Jokowi.

Polis masih menyiasat motif di sebalik percubaan memintas saluran komunikasi Prabowo dan setakat ini sudah menyoal siasat 13 pegawai polis serta lima pakar jenayah dan teknologi maklumat.

Jurucakap polis, Trunoyudo Wisnu Andiko berkata, Ketua Polis Negara turut menubuhkan pasukan khas bagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes berkenaan.

Suasana di Jakarta dilaporkan kekal tenang pada Khamis dan Jumaat meskipun ribuan anggota tentera dikerahkan susulan pendedahan mengenai kegiatan pengintipan itu. Khemah dan bas tentera kelihatan di ibu negara selain kehadiran sejumlah kecil anggota tentera.

Dalam perkembangan lain, ahli parlimen Indonesia dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menyiasat kelayakan Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka, anak kepada Jokowi, sebagai langkah awal yang berpotensi membawa kepada penyingkirannya daripada jawatan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top