nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri bertukar panik buat Mohamad Firdaus Mohd Soip, 33, apabila isterinya yang sarat mengandung mengalami pecah air ketuban ketika beraya.
Menceritakan kejadian itu, Mohamad Firdaus berkata, ketika kejadian, dia dan isterinya, Nur Fatin Yuslea Yusli, 27, baru tiba di rumah saudara di Johor Jaya, Johor, untuk beraya pada 21 Mac lalu.
“Semasa kejadian, saya dan isteri bersama adik ipar serta isterinya menaiki kereta untuk ke rumah saudara yang juga rumah pertama kami beraya.
“Semasa isteri saya mahu keluar dari kereta, dia maklum ada rasa air mengalir dekat kakinya sehingga ke kasut,” katanya ketika dihubungi semalam..
Mohd Firdaus yang juga pekerja kilang berkata, keadaan itu kemudian bertukar panik memandangkan mereka tidak menjangkakan perkara berkenaan berlaku.
“Mengikut rekod, kandungan isteri ketika itu adalah 37 minggu dan dijangka melahirkan bayi pada awal April nanti.
“Memandangkan kami tidak menjangkakan perkara itu, kami terpaksa berpatah balik ke rumah untuk mengambil barang termasuk buku ‘pink’ (buku rekod kandungan) isteri sebelum ke hospital,” katanya.
Menurutnya, isterinya kemudian dibawa ke Hospital Sultan Aminah, Johor Bahru, Johor, sebelum melahirkan anak kedua mereka iaitu bayi perempuan jam 3.50 pagi pada 22 Mac lalu.
“Alhamdulillah saya sempat bawa isteri ke hospital. Semasa di hospital, ada kejadian lagi berlaku semasa dia mahu melahirkan anak.
“Isteri tidak sempat ke bilik bersalin kerana kepala bayi sudah nak keluar. Jadi isteri bersalin di dalam wad.
“Bagaimanapun, alhamdulillah kedua-duanya (isteri dan anak) selamat,” katanya.
Mengulas mengenai rakaman video memaparkan situasi ketika air ketuban Nur Fatin pecah yang dimuat naik ibu saudaranya, Mohd Firdaus berkata, dia tidak menjangkakan mendapat banyak reaksi daripada warga net.
“Sejujurnya kami muat naik video berkenaan untuk kenangan bersama saudara mara kerana ini adalah kejadian kali pertama seperti itu berlaku,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi lapan saat memaparkan detik panik air ketuban Nur Fatin pecah semasa dia berada di dalam kereta tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Video berkenaan yang dimuat naik oleh ibu saudara Mohd Firdaus di akaun TikTok miliknya ditonton lebih 2.8 juta dan mendapat hampir 62,000 tanda suka serta dikongsi 13,000 kali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




