Panorama, warisan Negeri Sembilan dalam helaian fesyen mewah

Panorama, warisan Negeri Sembilan dalam helaian fesyen mewah

Kemegahan Istana Seri Menanti yang terkenal dengan seni bina tradisional Minangkabau kini diterjemahkan dalam helaian fesyen eksklusif Royal Sembilan.

Inspirasi daripada mercu tanda warisan itu menghiasi blazer, kemeja, tudung dan beberapa rekaan lain.

Jenama yang diasaskan oleh Tengku Puan Panglima Besar Tunku Puteri Jawahir Tuanku Ja’afar ini turut memberi penghormatan kepada bunga lado (bunga cili).

Panorama, warisan Negeri Sembilan dalam helaian fesyen mewah

Bunga rasmi Negeri Sembilan itu diolah menerusi cetakan digital asli yang menampilkan perjalanan pertumbuhannya daripada biji sehingga menjadi buah cili.

Pengarah Kreatifnya, Anuar Faizal berkata, setiap rekaan dalam koleksi terbaharu Royal Sembilan membawa naratif tersendiri menerusi gabungan elemen alam, budaya dan warisan negeri.

“Malah, kita turut membawa keindahan panorama senja yang tenang di Jelebu sebagai ilham dalam koleksi ini.

“Selepas ini, kita merancang untuk mengetengahkan keunikan daerah lain pula contohnya awan karpet di Bukit Taisho, Bahau di samping budaya kopi di Seremban,” katanya selepas pelancaran butik Royal Sembilan baru-baru ini.

Yang hadir sama, Tunku Puteri Jawahir bersama kakandanya, Tunku Dara Tunku Tan Sri Naquiah Tuanku Ja’afar.

Butik yang terletak di Aras 1, Bangsar Shopping Centre ini meraikan kekayaan seni dan budaya Negeri Sembilan menerusi fesyen mewah kontemporari.

Menurut Anuar, Royal Sembilan menawarkan koleksi sedia dipakai dan tempahan khas yang sofistikated untuk memenuhi cita rasa wanita masa kini.

Setiap rekaan pula menampilkan permainan corak, warna dan siluet kontemporari, di samping menggunakan fabrik mewah seperti sutera asli dan kapas.

Katanya, harga setiap rekaan bermula daripada RM699 ke atas bergantung kepada jenis fabrik dan potongan.

“Saya bekerjasama rapat dengan pengasas jenama ini dalam mentafsir semula warisan diraja Negeri Sembilan melalui lensa kemewahan kontemporari.

“Menerusi pendekatan itu, hasil tangan tradisional, naratif budaya dan teknik tekstil warisan diterjemahkan menjadi koleksi anggun yang kekal menghormati asal-usulnya, namun relevan dengan gaya hidup moden,” katanya.

Scroll to Top