am@hmetro.com.my
Langkawi: Di sebalik imej pulau peranginan terkenal dengan pantai indah dan hiburan malam yang meriah, wujud sisi gelap apabila kegiatan kartel dadah masih bergiat aktif secara terbuka di beberapa kelab malam sekitar Pantai Chenang dan Kuah.
Perkara itu terbongkar hasil penyamaran dan tinjauan Skuad Khas Harian Metro di lapangan yang berkunjung sendiri sebagai pelanggan di bar dan pusat hiburan dan melihat sendiri aktiviti itu dan cuba mendapatkan bahan terlarang itu.
Wartawan yang berpura-pura sebagai pelanggan masuk ke setiap pusat hiburan yang difahamkan menjalankan kegiatan pengedaran dadah itu.
Malah, ketika tinjauan dilakukan anggota polis dikenali ‘Mr A’ turut berada di salah satu pusat hiburan yang dimasuki wartawan dan dia duduk di kawasan VIP.
Malah, wanita Syeira yang menjadi pengedar dadah turut dikesan mengedarnya di salah satu pusat hiburan dikunjungi itu.
Hasil tinjauan dan pemerhatian mendapati urusan mendapatkan bekalan bahan terlarang itu perlu dijalankan secara tempahan awal melalui aplikasi WhatsApp.
Modus operandi pengedaran yang digunakan dengan mengarahkan pelanggan berjumpa individu tertentu di sekitar premis hiburan sebelum transaksi dilakukan secara pantas tanpa menarik perhatian pengunjung lain.
Dalam pemerhatian itu, dadah diserahkan dalam pek kecil yang disorok kemas di dalam bekas bungkusan rokok dipercayai bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa mahupun orang awam di lokasi terbabit.
Antara bahan terlarang yang dikesan ialah dadah ‘Pop’ (ekstasi), syabu, ketamin di mana dimaklumkan pembelian itu dijual RM220.
Difahamkan, terdapat juga kelab tertentu yang menawarkan dadah dalam bentuk campuran minuman seperti jus namun hanya dijual kepada pelanggan yang sudah dikenali atau dipercayai dalam rangkaian pengedar.
Tinjauan turut mendapati aktiviti ini bergerak secara tersusun dengan rangkaian pengedaran di beberapa kelab termasuk penggunaan kakitangan wanita sebagai pengedar yang bertindak menyampaikan bekalan kepada pelanggan di dalam premis.
Lebih membimbangkan, urusan jual beli itu didakwa hanya ditawarkan kepada pelanggan tempatan sahaja.
Selain itu, pemerhatian di beberapa kelab turut mendapati kebanyakan pengunjung terdiri daripada golongan muda sekitar usia 20-an, malah terdapat juga individu yang dipercayai masih di bawah umur.
Pemerhatian turut mendapati suasana di pusat hiburan atau kelab malam semakin rancak di antara jam 2 pagi dan 6 pagi.
Dalam suasana itu juga, terdapat beberapa remaja dilihat berada dalam keadaan khayal selepas dipercayai mengambil bahan terlarang, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap pendedahan golongan muda kepada aktiviti tidak sihat.
Aktiviti itu dilihat berlaku dalam suasana hiburan malam yang sibuk, menjadikan dadah seolah-olah ‘tersorok di depan mata’ di sebalik kemeriahan pelancongan Langkawi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




