Kuala Lumpur: Kemunculan semula penyu agar (Olive Ridley) untuk bertelur di pesisir pantai Teluk Bahang, Pulau Pinang, selepas hampir dua dekad bukan sekadar detik bersejarah, malah menjadi pencetus kepada usaha lebih tersusun memelihara khazanah marin di negeri ini.
Peristiwa pada 2023 itu membuka laluan kepada pengiktirafan kawasan pantai di hadapan Angsana Teluk Bahang Penang sebagai Pantai Mesra Penyu pada 2024, sekali gus memperlihatkan kepentingan kerjasama antara kerajaan, industri, institusi akademik dan komuniti dalam pemuliharaan hidupan marin.
Usaha itu kini berkembang dengan pembukaan Pusat Pendidikan Marin (MEC) di Angsana Teluk Bahang Penang yang menggabungkan elemen pendidikan, penyelidikan, pemuliharaan dan pelancongan lestari dalam satu lokasi.
MEC dibangunkan menerusi kerjasama Angsana Teluk Bahang Penang, Aquaria KLCC dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), dengan sokongan kepakaran saintifik Profesor Madya Dr Mohd Uzair Rusli dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, penubuhan MEC memperluas fungsi Pantai Mesra Penyu daripada sekadar kawasan perlindungan kepada model rujukan pembangunan eko pelancongan dan pemuliharaan marin.
“Jabatan Perikanan kekal komited terhadap kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta seperti ini, yang menggabungkan penyelidikan saintifik dengan usaha pemuliharaan bagi melindungi khazanah marin negara untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan MEC pada 22 September lalu yang turut dihadiri wakil agensi kerajaan, media serta rakan industri.
Berbeza dengan pusat pameran marin konvensional, MEC menawarkan pengalaman pembelajaran secara langsung menerusi galeri pameran spesimen marin yang diawet, tangki pameran interaktif, pameran obor-obor, makmal terbuka, bilik darjah luar dan pusat penetasan penyu.
Kemudahan berkenaan memberi peluang kepada pengunjung, khususnya pelajar sekolah dan universiti, memahami dengan lebih dekat kepentingan ekosistem marin selain melihat sendiri usaha pemuliharaan yang dijalankan.
Pada majlis pelancaran itu, tetamu turut dibawa melawat kawasan penetasan penyu dan bilik darjah luar dengan bimbingan pasukan Aquaria KLCC serta Mohd Uzair selaku penasihat projek.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan demonstrasi pengawetan spesimen marin secara interaktif bagi memahami bagaimana spesimen berkenaan dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Aquawalk Sdn Bhd, Datuk Simon Foong berkata, kerjasama berkenaan memperkukuh komitmen Aquaria KLCC bersama DOF dalam memperluas usaha pemuliharaan marin secara langsung di kawasan pendaratan penyu.
Menurutnya, MEC membawa pendekatan berbeza daripada konsep akuarium marin tradisional apabila menggabungkan penyelidikan aktif, pendidikan dan pemuliharaan dalam satu kawasan.
“Pusat ini bukan sekadar tempat pameran hidupan marin, sebaliknya menjadi pusat penyelidikan dan pembelajaran aktif dengan bimbingan penyelidik UMT.
“Kami percaya inisiatif ini mampu menjadi pemangkin kepada usaha pemuliharaan marin yang lebih meluas di seluruh Pulau Pinang,” katanya.
Pengurus Besar Angsana Teluk Bahang Penang, Nantha Kumar berkata, pembukaan MEC pula menandakan perkembangan penting dalam usaha mengintegrasikan industri hospitaliti dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Kami berbesar hati menyediakan lokasi bagi inisiatif penting ini yang mendapat sokongan penuh kepakaran UMT dan Jabatan Perikanan Malaysia.
“Angsana Teluk Bahang komited menjadi pusat pembelajaran yang membuktikan industri hospitaliti dan pemuliharaan marin mampu berkembang seiring demi melindungi kawasan pesisir pantai Pulau Pinang untuk generasi akan datang,” katanya.
Penubuhan MEC turut mencerminkan komitmen Banyan Group terhadap amalan pelancongan bertanggungjawab dan kelestarian alam sekitar.
Menerusi pembukaan pusat itu kepada sekolah, universiti dan komuniti setempat, Pantai Mesra Penyu kini bukan sahaja menjadi kawasan perlindungan hidupan marin, malah berpotensi berkembang sebagai destinasi ekopelancongan berasaskan pendidikan dan penyelidikan.
Daripada kemunculan semula penyu yang bertelur selepas hampir dua dekad kepada penubuhan pusat pendidikan marin, Teluk Bahang kini membuka ruang lebih luas kepada masyarakat untuk memahami, menghargai dan bersama-sama memelihara khazanah laut negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




