Kuching: Penyanyi dan komposer, Mimifly menang besar apabila meraih lima trofi pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25 yang disiarkan secara langsung menerusi TVS dari Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.
Lima trofi dimenangi Mimifly adalah Susunan Muzik Terbaik Dalam Sebuah Lagu menerusi Nara, Lagu Perayaan Terbaik dan Lagu Dengan Video Kreasi Terbanyak Di TikTok melalui Serumpun, selain Video Muzik Terbaik serta Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik menerusi Temberang.
Dengan kemenangan itu, Mimifly melakar kejayaan peribadi sebagai artis yang membawa pulang trofi terbanyak pada edisi Jubli Perak AIM, apatah lagi dia bergerak dengan kumpulan sendiri tanpa dinaungi syarikat rakaman.
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut mencatat pencapaian membanggakan apabila membawa pulang empat trofi.
Siti memenangi kategori Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Kesuma, Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Pesanan Buat Diri, selain Kolaborasi Terbaik Oleh Artis Tempatan Dan Artis/Penggubah Antarabangsa menerusi Cenderamaya.
Pada AIM 25, Siti mendominasi senarai pencalonan AIM 25 dengan 14 pencalonan termasuk dalam kategori Album Terbaik menerusi album tradisional, Gema Bumantara.
Aisha Retno pula membawa pulang tiga trofi menerusi album [RE.HAB] yang diangkat sebagai Album Terbaik dan turut membawa pulang trofi Rakaman Album Terbaik.
Penyanyi berusia 26 tahun itu mengenepikan saingan empat karya hebat lain iaitu Sa25 oleh Shila Amzah; Album: Lelaki Gila (Naim Daniel dan Adnin Roslan); Gema Bumantara (Siti) dan Jati Diri (Faizal Tahir dan Let Zapin).
Kejayaan memenangi kategori Album Terbaik melayakkan Aisha membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000 menerusi Dana Kandungan Digital (DKK) oleh Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.
Satu lagi trofi diraih Aisha menerusi lagu O.R.B.I.T yang memenangi kategori Lagu Tempatan Bahasa Inggeris Terbaik.
Bagi kategori tumpuan lain, penyanyi baharu, Arddley Nicholas mencipta kejutan apabila dinobatkan sebagai pemenang Vokal Lelaki Terbaik menerusi lagu Sandiwara Cinta, sekali gus mengenepikan saingan daripada Hazama, Pasya, Ryenald Guntabid dan Syamel.
Kategori Artis Baharu Terbaik menjadi milik Alpha yang membuat penampilan sulung pada AIM menerusi lagu Mona Lisa manakala kategori Vokal Kumpulan Terbaik pula dimenangi Inteam menerusi Satukan Kami Di Syurga.
Marsha Milan pula melakar kejayaan sulung di pentas AIM apabila memenangi kategori Lagu Etnik Terbaik menerusi lagu Pelangi Pasti ciptaan Amir Jahari.
Sementara itu, Hazama turut mencatat pencapaian peribadi apabila buat pertama kali membawa pulang trofi AIM menerusi kategori Lagu Tema Terbaik Dalam Filem/Drama bagi lagu Aku Bukan Narsisis.
Sementara itu, Ratu Rock, Ella Aminuddin menerima Anugerah Sri Wirama sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaiannya dalam industri muzik tanah air.
Malam kemuncak AIM 25 di BCCK menampilkan persembahan barisan artis popular tanah air termasuk Siti, Adira Suhaimi bersama anak sulungnya, Anggrek dan Akim Ahmad.
Tidak ketinggalan Alena Murang, Amir Masdi, Azlan Typewriter, Bunga, Estranged, Firdhaus, Hael Husaini, Hafiz Suip, Hujan, Luqman Podolski, Marsha Milan dan Mimifly serta penyanyi Indonesia, Fajar Noor.
Turut hadir, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Malam kemuncak AIM 25 dikendalikan gandingan pengacara popular, Awal Ashaari dan Scha Alyahya.
Edisi Jubli Perak AIM 25 direalisasikan menerusi sokongan kerajaan, rakan strategik serta rakan kerjasama industri muzik yang berganding bahu membawa anugerah muzik terulung itu ke Sarawak buat kali pertama
© New Straits Times Press (M) Bhd




