PARALIMPIK: Ahmad Faizal nasihat Bonnie tidak lupa jasa ibu bapa

sukhairi@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan kejayaan Bonnie Bunyau Gustin meraih pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 hasil kerjasama semua pihak dan paling utama daripada kedua ibu bapa atlet dari Sarawak itu.

“Hari ini saya berbangga dengan Bonnie,” kata Faizal kepada badang kerdil negara itu dalam satu sidang video bersama media, hari ini.

“Telefon ayah cepat, telefon jurulatih dan orang yang pernah berjasa dengan kita.

“Jangan lupa, kejayaan ini bukan kejayaan Bonnie seorang. Ini adalah hasil titik peluh pengorbanan orang tua kita, guru kita… mereka yang didik sejak kecil sehingga meraih kejayaan ini. Raikan kejayaan ini bersama.”

Bonnie, 22, meraih emas dalam kelas 72 kilogram (kg) dengan angkatan terbaiknya 228kg dan lebih manis angkatannya itu meletakkan dirinya sebagai pemegang rekod baharu temasya.

Malah, atlet dari Sarawak itu juga cuba memecahkan rekod dunia 230kg miliknya pada percubaan keempat dengan angkatan 231kg, namun ia tidak berhasil.

“Apabila Bonnie sudah menjadi pemenang pingat emas Paralimpik, Bonnie sudah menjadi ikon, hero dalam kalangan rakyat Malaysia. Apa yang Bonnie lakukan selepas ini akan menjadi ikutan kepada orang ramai.

“Bonnie kena ceritakan kepada orang ramai, kena ceritakan pada anak muda, bagaimana kita nak capai kejayaan, nak jadi orang paling hebat di dunia. Sejarah itu, kita kongsikan dengan orang lain supaya orang lain boleh menjadi hero kepada yang lain juga,” kata Faizal atau lebih dikenali sebagai Peja.

© New Straits Times Press (M) Bhd