PARALIMPIK: Ziyad mahu pecah rekod dunia, raih emas

PARALIMPIK: Ziyad mahu pecah rekod dunia, raih emas

sukhairi@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Prospek emas negara di Sukan Paralimpik 2020, Muhammad Ziyad Zolkefli meletakkan satu sasaran yang tinggi pada penyertaannya di Tokyo yang dijadual membuka tirainya pada 24 Ogos ini.

Atlet yang beraksi dalam acara lontar peluru F20 berusia 31 tahun itu berazam untuk memecahkan rekod dunia 17.29 meter (m) yang dirakamnya pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London 2017.

Malah, pemenang pingat emas di Paralimpik Rio 2016 yang boleh diberikan julukan ‘Super Ziyad’ itu turut menzahirkan kesediaannya mempertahankan kilauan berkenaan di Stadium Olimpik, Tokyo.

“Sebenarnya secara fizikal dan mental, saya sudah bersedia untuk sukan Paralimpik ini,” kata Ziyad yang baru-baru ini turut menerima suntikan semangat apabila kerajaan Selangor memberikan sumbangan RM10,000 bersama seorang lagi atlet negeri itu, Muhammad Hafiz Jamali.

“Saya akan mempersiapkan diri untuk menjadi atlet terbaik dalam usaha ke arah itu. Sasarannya adalah untuk melakukan yang lebih baik daripada (catatan) rekod dunia yang saya pegang.

“Saya nak buat catatan terbaik dalam sejarah hidup saya. Saya akan cuba melakukan yang terbaik mungkin namun kita tak tahu. Kadangkala kita sudah melakukan yang terbaik namun adakalanya memperoleh pingat dan adakala tidak dapat.

“Apapun, Insya-Allah saya akan buat yang terbaik untuk pecahkan rekod dunia yang pernah saya pegang,” katanya.

Pada penyertaan di Rio 2016, Ziyad melakar sejarah apabila memecahkan rekod baharu dunia dan Paralimpik dengan jarak 16.84m, sekali gus memadamkan rekod sebelum ini yang dipegang Todd Hodgetts dari Australia.

Info:

Nama: Muhammad Ziyad Zolkefli

Tarikh lahir: 15 Mac 1990 (31 tahun)

Acara: Lontar peluru F20 ((masalah pembelajaran)

Pencapaian:

Sukan Paralimpik

Emas – Rio 2016

Gangsa – London 2012

Kejohanan Dunia IPC

Emas – Lyon 2013

Emas – London 2017

Gangsa – Doha 2015

Sukan Para Asia

Emas – Incheon 2014

Emas – Jakarta 2018

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top