
Abu Samah tidak menolak kemungkinan Sukan Paralimpik 2024 di Paris bakal menjadi penampilan terakhirnya pada temasya sukan berprestij tersebut. Foto Bernama
JAGUH tenis kerusi roda negara, Abu Samah Borhan tidak menolak kemungkinan Sukan Paralimpik 2024 di Paris bakal menjadi penampilan terakhirnya pada temasya sukan berprestij tersebut.
Abu Samah berkata, usia mungkin menjadi faktor utama beliau memilih untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pentas Paralimpik, namun tetap bersedia mewakili negara jika diperlukan.
“Bagaimanapun, untuk temasya sukan lain seperti Sukan Para ASEAN mahupun Sukan Para Asia saya tak pasti, ia bergantung pada budi bicara Majlis Sukan Negara (MSN).
“Jika ikut faktor umur 40 tahun, atlet tenis kerusi roda tidak boleh terlalu bersungguh-sungguh kerana memerlukan daya tahan dan kekuatan tinggi,” kata atlet berusia 38 tahun itu kepada Bernama baru-baru ini.



