Paris, Singapura bukan lagi bandar termahal di dunia – Utusan Digital

LONDON: Singapura dan Paris berkongsi kedudukan tempat kedua sebagai bandar raya paling mahal di dunia untuk didiami berdasarkan tinjauan oleh Unit Perisikan Ekonomi (EIU). 

Lapor Daily Mail, berbanding sebelum ini, Paris yang berada di carta teratas turun satu anak tangga, manakala, Singapura melonjak naik dari tangga keempat kepada kedudukan kedua tahun ini. 

Zurich dan Hong Kong berada pada kedudukan keempat dan kelima, diikuti New York di tangga keenam dan Geneva di tempat ketujuh. 

Turut berada dalam senarai 10 bandar raya paling mahal di dunia adalah Copenhagen yang berada di kedudukan kelapan, diikuti Los Angeles (kesembilan) dan Osaka (kesepuluh). 

Tahun lalu, tinjauan sama meletakkan Paris, Zurich dan Hong Kong berkongsi kedudukan di tempat pertama. 

Indeks Kos Sara Hidup Dunia disusun dengan membandingkan harga dalam dolar Amerika Syarikat (AS) untuk barangan dan perkhidmatan di 173 bandar raya. 

Data bagi tahun ini dikumpul sejak Ogos dan September lalu, ketika harga barang dan komoditi meningkat dan menunjukkan secara purata harga meningkat 3.5 peratus dalam mata wang tempatan, iaitu kadar inflasi terpantas direkodkan dalam tempoh lima tahun lalu. 

Ketua Sara Hidup Seluruh Dunia EIU, Upasana Dutt berkata, sekatan sosial akibat pandemik Covid-19 mengganggu bekalan barangan dan membawa kepada kekurangan bekalan dan harga yang lebih tinggi. 

“Kita dapat lihat dengan jelas impak melalui indeks tahun ini dengan kenaikan ketara harga petrol,” katanya. 

Tel Aviv di negara ‘haram’ Israel berada di kedudukan pertama disebabkan oleh kekuatan mata wang negaranya iaitu shekel berbanding dolar, selain faktor kenaikan harga pengangkutan dan barangan runcit. 

Ibu kota Syria, Damsyik pula dinamakan sebagai bandar paling murah untuk didiami di seluruh dunia.