[Parlimen] Kerajaan didakwa rahsiakan warta, ambil hasil negeri 40 peratus Sabah 

[Parlimen] Kerajaan didakwa rahsiakan warta, ambil hasil negeri 40 peratus Sabah 

KUALA LUMPUR: Kerajaan didakwa tidak membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan mengikut proses sewajarnya malah merahsiakan hal mengenai Pemberian Khas 40 peratus hasil negeri Sabah dikutip Kerajaan Persekutuan yang sebelum ini dikatakan tidak lagi terpakai. 

Ia didakwa telah berlanjutan selama lebih 50 tahun antara 1969 hingga 1970 setelah hadirnya Warta Kerajaan 1970 diterimanya yang diletakkan di bawah status ‘Rahsia’ mengenai pemberian khas itu, sedangkan dokumen yang diwarta adalah untuk pengetahuan umum. 

Mendedahkan perkara itu, Ahli Parlimen Sepanggar dari Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, ketika ia sudah diwartakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan, namun menerusi semakannya di laman sesawang pada tahun tersebut didapati tiada warta berkenaan dimasukkan.

Malah, kata Azis, sejak tahun 1969 hingga hari ini, kerajaan tidak pernah meminda Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan atau tidak tercatat sebarang pindaan di dalam buku Perlembagaan berkaitan perkara tersebut, sekaligus mewujudkan persoalan bagaimana mungkin Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini mengatakan pemberian khas sebagai ‘tidak lagi terpakai’. 

Justeru, beliau menyifatkan, ‘kerahsiaan’ kerajaan selama puluhan tahun itu sebagai satu bentuk perompakan terhadap hak-hak dan kepentingan Sabah yang sepatutnya menerima hasil negeri sebanyak 40 peratus sejak sekian lama. 

“Memandangkan keputusan dan warta ini dikeluarkan sewaktu tempoh darurat pada tahun tersebut, dan oleh kerana kesemua Ordinan Darurat telah dimansuhkan pada tahun 2011, mengapa hingga sekarang pindaan Perlembagaan tidak dibuat dan warta ini tidak didedahkan kepada umum dan berstatus rahsia? 

“Bukankah dengan tidak melakukan proses yang betul, keputusan dibuat dengan membatalkan formula Perkara 112C pada tahun itu dan diwartakan secara rahsia tanpa pengetahuan rakyat Malaysia khususnya Sabah pada tahun 1970 terbatal dan tidak lagi terpakai?

“Justeru, jawapan yang diberikan menteri kewangan sebelum ini berkenaan ‘tidak terpakai’ adalah mengelirukan dan sebenarnya ia (pemberian khas) masih lagi terpakai,” katanya semasa sidang media di Bangunan Parlimen petang ini. 

Di awal pembentukan Malaysia, Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama subseksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Ke-10, Perlembagaan memperuntukkan, negeri Sabah berhak menerima pemberian khas dengan dua perlima atau 40 peratus daripada hasil negeri yang dikutip Kerajaan Persekutuan.

Pada 14 Mac lalu, Utusan Online melaporkan, memetik Mohd. Azis, beliau menggesa supaya kerajaan menjelaskan mengenai Pemberian Khas 40 peratus hasil negeri dikutip Kerajaan Persekutuan yang tidak lagi terpakai, kerana kajian semula Pemberian Khas telah dijalankan dan dipersetujui bersama dalam tempoh 1969 hingga 1973 serta kadar pemberiannya masih berkuatkuasa hingga kini. 

Ia seperti yang dimaklumkan Tengku Zafrul melalui jawapan bertulisnya bertarikh 3 Mac 2022. 

Ironinya, semasa menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan pada minggu lalu, Tengku Zafrul pula menyebut perkara tersebut masih dalam proses rundingan.

Mohd. Azis berkata, lebih mengelirukan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili baru-baru ini tidak dapat menjawab secara terus jika benar sudah tidak lagi terpakai. 

Malah, beliau didakwa membuat kenyataan bahawa persetujuan telah dicapai, menyaksikan geran tahunan diperoleh Sabah adalah lima kali ganda lebih besar berbanding yang tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Terbaharu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini pula berkata, kerajaan negeri akan meneruskan rundingan dan menuntut 40 peratus kutipan cukai Sabah daripada Kerajaan Persekutuan.

Menyokong dakwaan Mohd. Azis, Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis di persidangan Dewan Rakyat sebelum itu berkata, beliau meminta supaya Sabah mendapat pembelaan mengenai isu pemberian khas tersebut. 

“Perkara ini melibatkan Perlembagaan. Kita (pembangkang) sudah bahas perkara ini kepada kementerian kewangan tetapi tidak dinyatakan kemudian hari. 

“Ini mengejutkan bahawa ada warta rahsia daripada pengetahuan umum. Ini rompakan kepada orang Sabah, jadi saya minta pembelaan. Ini bukan main-main,” katanya. – UTUSAN