Parti Bersama tidak bertanding PRN Negeri Sembilan

Parti Bersama tidak bertanding PRN Negeri Sembilan

Seremban: Parti Bersama Malaysia (Bersama) memutuskan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bagi memberikan tumpuan kepada PRN Melaka.

Pemimpin parti itu Datuk Seri Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syukri Razab dalam kenyataan bersama hari ini berkata keputusan itu mengambil kira isu terkini di Negeri Sembilan selain kekangan masa dan sumber.

“Mesyuarat persediaan awal PRN Melaka akan diadakan pada 21 Julai ini untuk mengenal pasti kerusi dan mula menyaring calon-calon agar dapat diumumkan lebih awal,” menurut mereka.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian, manakala penamaan calon pada Sabtu ini dan undi awal pada 28 Julai.

Pada PRN Johor 11 Julai lepas, Bersama yang buat kali pertama bertanding gagal meraih sebarang kerusi daripada keseluruhan 15 kerusi ditandingi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top