Parti Melayu perlu senada pertahan isu 3R – KJ

Parti Melayu perlu senada pertahan isu 3R – KJ
Parti Melayu perlu senada pertahan isu 3R – KJ

Khairy (duduk, kanan) pada sidang media selepas hadir merasmikan Majlis Kesyukuran Sempena Ulang Tahun UMNO Ke-80 di Tapak Rumah UMNO Ketereh pada Sabtu.

KOTA BHARU – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa penyatuan parti-parti Melayu perlu dilihat sebagai kerjasama strategik, bukan gabungan politik rasmi.

Beliau berkata, konsep Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Kolaborasi Agung yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan bertujuan menggabungkan parti-parti Melayu dalam satu ikatan politik secara rasmi.

“Sebaliknya memberi penekanan kepada kerjasama dan penyataan pendirian bersama khususnya dalam isu-isu yang dianggap sebagai ‘garisan merah’ masyarakat Melayu Islam di negara ini,” katanya pada sidang media selepas hadir merasmikan Majlis Kesyukuran Sempena Ulang Tahun UMNO Ke-80 di Tapak Rumah UMNO Ketereh di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad dan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Md Nor.

Khairy menjelaskan, pendekatan tersebut bertujuan mengelakkan persaingan tidak sihat dalam kalangan parti Melayu, yang berisiko menimbulkan perpecahan apabila masing-masing cuba menonjolkan kelebihan politik.

“Bila timbul isu, kita tak berlumba-lumba nak tunjuk siapa lebih Melayu atau lebih Islam. Sebaliknya kita perlu ada pendirian bersama,” katanya.

Beliau turut membandingkan situasi itu dengan parti-parti kaum lain, yang menurutnya sering mempunyai pendirian lebih seragam walaupun bersaing dalam arena politik.

“Kalau ada isu melibatkan masyarakat Cina, walaupun MCA dan DAP bersaing, mereka ada pendirian yang hampir sama. Jadi kenapa kita tidak boleh lakukan perkara sama?” katanya.

Ujar beliau, antara perkara yang disenaraikan sebagai sensitiviti utama ialah agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan orang Melayu, hak istimewa serta bahasa Melayu.

Katanya, ia bukan soal bergabung secara politik seperti yang sering digambarkan, tetapi lebih kepada penyatuan pendirian apabila berdepan isu-isu sensitif.

Scroll to Top