JOHOR BAHRU – Pas Johor menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dengan hati terbuka serta menghormati pilihan rakyat dalam menentukan kepimpinan kerajaan negeri.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Mahfodz Mohamed berkata, pihaknya turut mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) yang diterajui Datuk Onn Hafiz Ghazi atas kejayaan memperoleh majoriti kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.
“Pas Johor akur, menghormati dan menerima keputusan Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16 ini dengan hati yang terbuka.
“Rakyat dan para pengundi negeri Johor telah menzahirkan pilihan serta kehendak mereka secara demokratik dalam menentukan kepimpinan kerajaan negeri Johor,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada BN yang diterajui Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas kemenangan pada PRN Johor ke-16 sekali gus memperoleh majoriti kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.
Katanya, keputusan itu juga dilihat selari dengan seruan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang agar kuasa pemerintahan negeri terus berada di bawah kepimpinan orang Melayu Islam.
“Keputusan pilihan raya ini juga menunjukkan bahawa majoriti rakyat dan pengundi negeri Johor telah menzahirkan penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP,” katanya.
Tambahnya, Pas Johor bersama PN akan terus memperkukuhkan komitmen dan meneruskan agenda perjuangan demi agama, bangsa serta kebajikan rakyat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.


![[TERKINI] Senarai penuh keputusan rasmi PRN Johor ke-16 [TERKINI] Senarai penuh keputusan rasmi PRN Johor ke-16](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/prnmenang11-o_HMfield_image_socialmedia.var_1783783080.jpg)
