'PAS kena pilih sokong UMNO atau BERSATU'

'PAS kena pilih sokong UMNO atau BERSATU'

nfazlina@nstp.com.my

KOTA BHARU: UMNO Kelantan menggesa PAS menyatakan pendirian jelas sama ada mahu bekerjasama dengan UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Itu antara empat perkara diputuskan UMNO Kelantan dalam mesyuarat membabitkan 12 daripada 13 bahagian di Kelantan, semalam.

Setiausaha UMNO Kelantan, Akbar Salim, berkata selain itu, pihaknya bersetuju supaya parti itu memutuskan hubungan dan kerjasama dengan BERSATU.

Pada masa sama katanya, pihaknya beranggapan, pendirian yang dibuat oleh UMNO Bahagian Ketereh terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini sebagai kes terpencil, kerana tidak melalui Badan Perhubungan UMNO negeri.

“Selain itu, UMNO Kelantan terus mendukung institusi kepresidenan dan menyokong kepemimpinan Ahmad Zahid sebagai presiden parti yang dipilih secara demokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, UMNO Bahagian Ketereh menghantar surat kepada Ahmad Zahid berhubung pendirian mereka menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN)

Ketuanya, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, surat dihantar menerusi e-mel kepada Datuk Seri Ahmad Maslan pada petang Sabtu sebelum Setiausaha Agung UMNO itu menyerahkannya kepada Ahmad Zahid pada Isnin ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top