am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: PAS dicadangkan untuk meninggalkan Perikatan Nasional (PN) serta membentuk gabungan politik baharu, sementara BERSATU kekal dalam gabungan itu bersama parti lain dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata, sepanjang bekerjasama, PAS dilihat tidak komited dengan PN kerana terbabit dalam rundingan politik di luar pengetahuan gabungan itu seperti yang berlaku pada ‘Langkah Bangkok’.
Malah katanya, PAS juga secara berulang kali menyuarakan hasrat untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) bersama dengan UMNO.
“PAS juga didakwa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tanpa pengetahuan BERSATU atau PN.
“Kita juga lihat PAS kurang kesetiaan kepada jenama PN, sebagai contoh di Kelantan dan Terengganu, parti itu lebih mengutamakan logo PAS dan di Johor juga terdapat cadangan untuk bertanding menggunakan logo yang sama,” katanya dalam Facebook, tadi.
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata kepimpinan PN yang diterajui PAS dilihat gagal mengurus beberapa isu dalaman dengan berkesan, termasuk kelewatan mengadakan mesyuarat penting dan rundingan termasuk pembahagian kerusi pilihan raya.
“Beberapa keputusan penting PN, termasuk berkaitan pelantikan Ketua Pembangkang dan pindaan perlembagaan gabungan itu juga didakwa mengambil masa lama untuk dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, struktur membuat keputusan dalam PN turut menjadi kurang efektif apabila beberapa keputusan perlu dirujuk semula kepada kepimpinan PAS dan Majlis Syura Ulama sebelum dimuktamadkan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan proses membuat keputusan menjadi lebih perlahan berbanding keperluan semasa politik negara.
Pada masa sama, beliau berpendapat identiti PN sebagai gabungan berimej biru dan lebih inklusif turut terjejas apabila semakin sinonim dengan imej PAS yang berteraskan warna hijau.
“Dalam keadaan itu, PN berdepan cabaran untuk menarik sokongan parti serta pengundi bukan Melayu,” katanya.
Beliau turut mendakwa beberapa kenyataan dan tindakan politik PAS dilihat tidak selari dengan kepentingan PN, malah ada yang dianggap menguntungkan pihak lain dan melemahkan kedudukan gabungan itu.
“Jika benar khabar angin bahawa PAS sudah ada rundingan dengan UMNO serta tidak akan bertanding dalam PRN Johor dan akan ditawarkan kerusi ADUN lantikan selepas PRN Johor, maka bukankah lebih baik dan lebih wajar PAS secara sukarela meninggalkan PN dan bersama dengan UMNO dalam MN.
“Jika khabar angin ini benar, tidak wajar untuk PAS terus mempengerusikan PN. Bukankah itu lebih baik daripada PAS dilihat cuba mensabotaj BERSATU, PN dan parti-parti lain yang mahu bersama PN?,” katanya.
Justeru, Tun Faisal mencadangkan supaya BERSATU meneruskan PN bersama IPR dalam memastikan kelangsungan dan pengukuhan jenama gabungan itu menjelang pilihan raya akan datang.
Katanya, berdasarkan perkembangan semasa, PAS kini dilihat lebih menjadi liabiliti berbanding aset kepada PN kerana didakwa kurang komited terhadap gabungan serta menjejaskan usaha memperkukuhkan kedudukan politik PN.
© New Straits Times Press (M) Bhd




