am@hmetro.com.my
Alor Setar: PAS akan meneruskan perjuangan mengambil alih semula tampuk pemerintahan negara dan menguasai sistem politik bagi mengembalikan Islam sebagai asas utama pentadbiran.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, hanya Islam mampu menyelamatkan negara dan dunia daripada kezaliman serta penindasan akibat sistem pemerintahan yang tidak berpaksikan ajaran Islam.
Katanya perjuangan PAS untuk menguasai sistem politik negara perlu diteruskan secara konsisten dan bersungguh-sungguh.
“Oleh itu perjuangan untuk ambil alih negara dan menguasai sistem politik semula mesti diteruskan oleh PAS secara bersungguh-sungguh dalam keadaan apa sekalipun.
“Yakinlah, Islam sahaja yang boleh selamatkan dunia ini. Selain daripada itu, kebanyakannya telah rosak dan mendedahkan manusia kepada kezaliman serta penindasan,” katanya dalam hantaran di Facebook PAS Kedah semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, ketiadaan panduan Islam dalam pentadbiran akhirnya menyebabkan sesebuah negara dikuasai pihak lain yang tidak menjadikan Islam sebagai asas berpolitik.
Sebagai contoh katanya, situasi itu berlaku pada pemerintahan semasa di bawah Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
“Pemimpin yang perintah tetapi tidak berpegang pada Islam, akhirnya mereka dikuasai orang lain yang tidak menjadikan Islam sebagai asas berpolitik,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, PAS perlu terus menyediakan ruang bagi Islam berkembang sebagai sistem pemerintahan, di samping menjamin keadilan serta keselamatan golongan bukan Islam.
“Kita ini mulia dan selamat dengan Islam. Hati kita bersih dengan Islam. Kita tidak menindas sesiapa, kita berlaku adil, tidak diskriminasi dan tidak menafikan hak mana-mana rakyat ketika menjadi kerajaan. Itu prinsip Islam,” katanya.
Beliau berkata Islam melarang kezaliman, diskriminasi serta penafian hak, selain menuntut penghormatan terhadap pihak lain selagi hak dan maruah Islam tidak digugat.
Namun katanya, terdapat garis sempadan yang tidak boleh dilanggar sekiranya ada pihak cuba menghakis hak umat Islam.
“Bila mereka hilang kewarasan dan mengenepikan perasaan, cuba hakis hak kita, kita pun ada perasaan. Ini yang menjadi garis sempadan, jangan langgar mari belah sini sebab kita tak pernah langgar pergi belah sana,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




