Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyindir Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa parti itu sering menukar “tiang gol” dalam pendirian politik.
Ahmad Fadhli berkata, walaupun strategi politik PAS mungkin berubah mengikut keadaan semasa, matlamat utama parti itu kekal sama iaitu memastikan kemenangan dalam pilihan raya.
“PAS tetap akan berusaha menjaringkan gol di gawang lawan dan tidak akan sama sekali jaringkan gol sendiri. Dalam proses jaringkan gol itulah, strategi, pemain bahkan jurulatih sekalipun sentiasa perlu ditukar ganti jika perlu.
“Jangan bimbang, selagi 90 minit belum berakhir, matlamat jaringkan gol ke gawang lawan tetap berjalan.
“Pasukan PAS tidak akan bergabung dengan pasukan lawan jaringkan gol sendiri,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Zahid yang memaklumkan BN tidak mempunyai sebarang kerjasama dimuktamadkan bersama PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
Zahid sebelum ini dilaporkan berkata, BN mengambil pendekatan untuk tidak terlalu yakin dengan kenyataan pemimpin PAS berikutan pendirian parti itu yang didakwa boleh berubah mengikut perkembangan politik.
Artikel lain: Jangan positif sangat! PAS sentiasa ubah naratif politik demi kuasa – Zahid Hamidi
Sementara itu, Ahmad Fadhli menegaskan PRN Negeri Sembilan akan menjadi medan untuk PAS membuktikan bahawa parti itu menunaikan pendirian yang dinyatakan.
Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan parti itu pada dasarnya bersetuju BN mempertahankan 14 kerusi yang dimenangi pada PRN 2023, manakala PAS kekal bertanding di tiga kerusi iaitu Bagan Pinang, Serting dan Paroi.

Pada PRN Negeri Sembilan 2023, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi, BN memperoleh 14 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi lima kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi yang dipertandingkan.




