Pas tidak pernah rugi jalin kerjasama politik dengan Bersatu – Abdul Hadi

Pas tidak pernah rugi jalin kerjasama politik dengan Bersatu – Abdul Hadi

SHAH ALAM – Pas tidak pernah rugi dalam semua kerjasama politik termasuk dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), meskipun terpaksa mengorbankan tenaga ahlinya kerana meraikan pihak yang lain.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerugian itu termasuklah terpaksa mengorbankan kerusinya dan memberi lebih banyak tempat kepada parti berkenaan yang rakus untuk bertanding.

Beliau menegaskan, disebalik pengorbanan itu, ia memberikan kemenangan besar kepada Pas sehingga berjaya menawan empat negeri dan menambah jumlah kerusi yang dimenangi di beberapa negeri termasuk menembusi Sabah dan mendapat kerusi terbanyak di Parlimen.

“Pas juga menambah kawan baharu yang dipecat daripada parti Bersatu yang bertaraf pemimpin yang menjadi kekuatan baharu kepada Pas.

“Inilah berkat beristiqamah dengan pertolongan ALLAH kerana keikhlasan para pejuangnya, walaupun terpaksa menanggung bebanan masalah daripada pihak yang lain,” katanya menerusi catatan Minda Presiden yang dikongsi di laman sosialnya pada Khamis.

Pada 8 Jun lalu, Abdul Hadi mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu.

Beliau berkata, jawatankuasa itu mengesahkan keputusan Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berhubung dasar, pertimbangan agama dan kepentingan awam dalam kerjasama politik Pas berasaskan prinsip perpaduan umat Islam.

Sementara itu, menerusi catatan sama, Ahli Parlimen Marang itu turut menegaskan, antara faktor lain membuatkan partinya membuat ketetapan untuk memutuskan kerjasama tersebut ialah kerana tindakan Bersatu yang didakwa cuba melemahkan peranan Pas yang ingin meneroka perubahan politik dengan menghalang penyertaan lebih banyak parti bukan Islam yang tidak ekstrem.

Di samping itu katanya, Bersatu turut melakukan pembahagian kerusi sewaktu pilihan raya umum dengan rakus tanpa mengira kelayakan calon, kemampuan jentera dan jumlah ahlinya dengan memberi maklumat yang salah.

“Ternyata apabila turun ke lapangan, mereka tidak kelihatan, sehingga menjadikan ahli Pas yang melakukan kerja secara sukarela seperti buruh paksa bagi pihak calon-calon yang tidak ada kelayakan dan tidak ada jenteranya sendiri,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Abdul Hadi turut membangkitkan isu krisis dalaman Bersatu yang menurutnya menyaksikan pemecatan, penggantungan serta tindakan keluar parti melibatkan ramai pemimpin dan ahli Parlimen.

Beliau mendakwa perkembangan tersebut telah menjejaskan kekuatan Perikatan Nasional (PN) serta memberi kesan terhadap kestabilan kerjasama politik antara kedua-dua parti.

Selain itu, beliau turut mengaitkan beberapa perkembangan politik termasuk di Perlis dan Negeri Sembilan sebagai antara faktor yang menimbulkan ketidakpuasan hati Pas terhadap rakan politiknya itu.

Abdul Hadi berkata, Pas sebelum ini telah berusaha melakukan pembetulan terhadap kelemahan dalam kerjasama berkenaan melalui pelbagai saluran termasuk mesyuarat rasmi, pertemuan khas dan perbincangan peribadi, namun dakwanya tiada tindakan sewajarnya diambil.

Jelas beliau, Majlis Syura Ulama kemudiannya membuat keputusan berdasarkan prinsip syarak yang menekankan kerjasama dalam perkara kebajikan dan ketakwaan serta menolak kerjasama yang membawa kepada dosa dan permusuhan.

“Keadaan semasa mewajibkan perpaduan umat Islam ketika negara berhadapan cabaran kumpulan bukan Islam yang ekstrem dan liberal yang boleh memberi kesan kepada politik, ekonomi, pendidikan serta kehidupan bermasyarakat,” katanya.

 

Scroll to Top