NEW YORK: Hasrat sepasang kekasih untuk mengabadikan momen lamaran perkahwinan luar biasa di puncak menara ikonik, Empire State Building membawa padah apabila kedua-duanya ditahan pihak berkuasa, Rabu lalu.
Pasangan itu dilaporkan memanjat struktur antena bangunan berkenaan sebelum membentangkan kain rentang bertulis ‘the power of love’ atau kuasa cinta dalam satu aksi nekad yang dipercayai sebahagian daripada rancangan lamaran tersebut.
Menerusi rakaman video daripada helikopter agensi berita, kedua-dua individu yang berpakaian hitam dan bertopeng itu dilihat mengimbangi badan di atas birai sempit tanpa sebarang tali keselamatan.
Kain rentang yang dibawa mereka berkibar pada struktur setinggi 443 meter.
Selepas berada di situ buat seketika, pasangan berkenaan menurunkan kain rentang tersebut dan mula memanjat turun mengikut struktur besi ke birai yang lebih luas.
Aksi berbahaya itu bagaimanapun terhenti apabila anggota Unit Perkhidmatan Kecemasan Polis mula memanjat tangga struktur berkenaan untuk menghalang mereka.
Rakaman kamera badan polis mendedahkan seorang anggota menyapa pasangan tersebut dan menegaskan mereka tidak dibenarkan berada di situ.
Beberapa saat kemudian, anggota polis berjaya menghampiri pasangan berkenaan di ketika mereka sedang turun tangga, sebelum berbincang secara tenang.
Polis menahan kedua-dua pendaki terbaharu itu sekitar jam 1 petang waktu tempatan. Bagaimanapun, identiti mereka masih belum didedahkan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden itu. – AGENSI




