MUDA desak PH terus terang soal kerjasama dengan BN selepas PRN Johor

MUDA desak PH terus terang soal kerjasama dengan BN selepas PRN Johor

JOHOR BAHRU- Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Johor menggesa Pakatan Harapan (PH) menyatakan pendirian secara terbuka sekiranya gabungan itu sudah bersedia menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarah Pilihan Raya MUDA Johor, Rasid Abu Bakar berkata, perkara itu perlu dijelaskan kepada rakyat sebelum hari pengundian dan bukannya selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Menurutnya, gesaan itu susulan kenyataan Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Dr Maszlee Malik yang dilaporkan terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRN.

“Dr Maszlee tidak boleh hanya mencabar BN supaya berterus terang, tetapi pada masa sama mengharapkan rakyat menerima kerjasama PH-BN tanpa mengetahui apakah sebenarnya yang akan dibawa bersama selepas pilihan raya.

“Rakyat Johor tidak wajar dijadikan penonton kepada sandiwara politik. Di Johor bergaduh untuk meraih undi, di Putrajaya duduk semeja membentuk kerajaan.

“Jika itu akhirnya yang mahu dilakukan selepas pilihan raya, berterus teranglah dengan rakyat sebelum mereka mengundi, bukan selepas keputusan diumumkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Semalam, Maszlee dilaporkan berkata PH terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRN, termasuk parti yang mempunyai haluan politik berbeza.

Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Seri Dr Sahruddin Jamal pula menegaskan gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PH selepas PRN, namun terbuka menjalin kerjasama dengan parti yang mempunyai ideologi sehaluan.

Mengulas lanjut, Rasid turut mempersoalkan tindakan Maszlee yang sebelum ini secara sinis mencadangkan agar BN memasukkan isu pengampunan diraja terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam manifesto BN, sedangkan pada masa sama menyatakan PH terbuka untuk bekerjasama dengan BN.

“Kalau PH benar-benar bersedia membentuk kerajaan bersama BN selepas pilihan raya, masukkan sahaja agenda itu dalam manifesto PH.

“Jangan suruh BN sahaja berterus terang, PH juga perlu jujur dengan rakyat Johor. Rakyat berhak mengetahui bentuk kerajaan yang bakal dibentuk dan prinsip yang menjadi asas kepada kerjasama itu sebelum mereka mengundi,” katanya.

Beliau berkata, manifesto merupakan kontrak antara parti politik dengan rakyat dan sekiranya PH sudah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan BN selepas pilihan raya, perkara itu wajar dinyatakan secara terbuka.

“Jangan hanya bercakap mengenai pembentukan kerajaan, tetapi jelaskan juga perkara-perkara yang akan menjadi asas kepada kerjasama tersebut supaya rakyat dapat membuat pilihan berdasarkan maklumat yang jelas,” katanya.

Scroll to Top