Pasangan pengasuh ditahan berhubung kes bunuh

Pasangan pengasuh ditahan berhubung kes bunuh

bhnews@bh.com.my

PETALING JAYA: Polis menahan pengasuh wanita dan suaminya selepas berhubung kes bunuh seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pasangan berusia 35 tahun itu ditahan di sebuah rumah di pangsapuri Jalan PJU 1A/42 di sini jam 8 malam tadi.

“Polis menerima maklumat daripada seorang doktor hospital kerajaan mendakwa menerima bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri yang dibawa oleh seorang lelaki dipercayai pengasuh pada jam 7 petang hari kejadian.

“Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam di bahagian mulut dan cedera di bahagian dubur mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu polis menahan pasangan suami isteri itu bagi membantu siasatan.

“Semakan rekod lampau mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod berkaitan dadah,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top