MEDAN– Sepasang suami isteri ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta yang diparkir di hadapan sebuah rumah di Jalan Harapan Pasti, Kecamatan Medan Denai, pada Jumaat, dipercayai akibat keracunan gas ketika berehat di dalam kenderaan berkenaan.
Mangsa dikenali sebagai Suharlin dan Dame Lamria Pakpahan, masing-masing berusia lingkungan 40-an.
Ketua Kawasan IV Kelurahan Binjai, Jun Hasibuan berkata, beliau menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 2 petang waktu tempatan sebelum bergegas ke lokasi.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi, cermin kereta yang dinaiki pasangan itu telah dipecahkan dan kedua-dua mangsa telah dibawa ke hospital.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, Suharlin dipercayai sudah meninggal dunia ketika ditemukan, manakala isterinya masih menunjukkan tanda-tanda masih bernafas sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.
Jun memaklumkan pasangan itu pertama kali ditemukan oleh anak saudara mereka kira-kira jam 1 tengah hari.
Sebelum itu, sekitar jam 11 pagi, anak saudara mangsa dikatakan cuba mengejutkan pasangan berkenaan yang sedang berehat di dalam kereta dan ketika itu si isteri masih memberikan respons.
Bagaimanapun, ketika mereka diperiksa semula dua jam kemudian, kedua-duanya didapati tidak sedarkan diri, menyebabkan ahli keluarga bertindak memecahkan cermin kereta untuk menyelamatkan mangsa sebelum membawa mereka ke hospital.
Jun turut memaklumkan kawasan berkenaan mengalami gangguan bekalan elektrik sejak malam sebelumnya susulan hujan lebat.
Sementara itu, Ketua Polis Sektor Medan Area, AKP Ainul Yaqin berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian pasangan tersebut.
Menurut beliau, berdasarkan penemuan awal di lokasi, mangsa dipercayai mengalami keracunan gas ketika berada di dalam kereta yang enjinnya masih hidup bersama sistem pendingin hawa yang beroperasi.
Beliau berkata, hasil maklumat daripada keluarga mendapati pasangan itu meninggalkan rumah mereka kira-kira jam 11 malam pada Khamis untuk menuju ke rumah ibu bapa kerana kediaman mereka mengalami gangguan bekalan elektrik.
Namun sebaik tiba di lokasi, mereka memilih untuk berehat di dalam kereta yang diparkir di hadapan rumah dan tidak masuk ke dalam kediaman tersebut.
Katanya, ketika ditemukan, enjin kereta dan pendingin hawa masih dalam keadaan berfungsi.
“Kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan lemah sebelum dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.
Polis kini menunggu hasil siasatan lanjut bagi menentukan punca sebenar kejadian. – Agensi



