am@hmetro.com.my
Melaka: Pasangan tunang nyaris maut sejurus kereta Proton Iriz dinaiki terbabas dan melambung hampir 10 meter ke Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Alor Gajah (SPA) di persimpangan lampu isyarat Taman Bertam Impian, di sini.
Nahas sekitar jam 7.55 malam tadi turut membabitkan tiga kenderaan lain itu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner berkata, siasatan awal mendapati kereta itu dipandu wanita berusia 28 tahun dan dalam perjalanan dari Taman Seri Bertam menghala ke Tanjung Minyak Perdana.
“Ketika melalui jalan di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, pemandu Proton Iriz itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pagar penghadang dan terjunam dari ketinggian kira-kira empat meter sebelum melambung kira-kira 10 meter ke laluan persimpangan Taman Bertam Impian.
“Kereta itu kemudiannya menghentam tiga kereta lain iaitu Perodua Alza, Hyundai Sonata dan Toyota Cross yang berhenti di persimpangan lampu itu berkenaan,” katanya tadi.
Beliau berkata, pemandu dan penumpang Proton Iriz masing-masing, mengalami luka dan lebam di tangan serta sakit di bahagian badan dan mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Melaka.
Katanya, polis turut menerima laporan kejadian dibuat pemandu Toyota Cross yang iuga kontraktor berusia 43 tahun pada jam 9.47 malam tadi.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan polis juga sedang mengesan saksi bebas yang melihat kejadian dan rakaman kamera papan pemuka kenderaan bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu tular video kemalangan berdurasi enam saat memaparkan seorang mangsa terbaring di atas pembahagi jalan sambil dikerumuni orang ramai manakala kenderaan terbalik di lokasi sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




