Pasaran modal Malaysia berkembang kepada RM3.8 trilion

Pasaran modal Malaysia berkembang kepada RM3.8 trilion

KUALA LUMPUR – Pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan pada tahun 2023, dengan saiz pasaran berkembang sebanyak 5.6% kepada RM3.8 trilion (2022: RM3.6 trilion), didorong oleh pertumbuhan dalam permodalan pasaran ekuiti serta jumlah bon dan sukuk belum tebus.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dalam Laporan Tahunan 2023 yang dikeluarkan hari ini, berkata industri pengurusan dana juga berkembang kukuh dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) mencecah paras tertinggi baharu sebanyak RM975.5 bilion (2022: RM906.5 bilion) yang sebahagian besarnya disebabkan daripada kesan penilaian positif.

SC juga mengeluarkan Laporan Tahunan Lembaga Pemantauan Audit 2023 (Laporan AOB 2023), dan Tinjauan Kestabilan Pasaran Modal 2023 (CMSR 2023).

Menurut laporan itu, jumlah pengumpulan dana dalam pasaran ekuiti dan bon korporat menyederhana kepada RM127.7 bilion (2022: RM179.4 bilion) berikutan penurunan dalam terbitan bon korporat dan sukuk kepada RM118.3 bilion (2022: RM153.3 bilion) disebabkan permintaan pembiayaan semula yang lebih rendah; dan pengumpulan dana ekuiti sekunder kepada RM5.8 bilion (2022: RM22.6 bilion), kembali ke tahap pra-pandemik.

Selain itu, tawaran awam permulaan (IPO) meningkat kepada RM3.6 bilion (2022: RM3.5 bilion).

Aktiviti pembiayaan alternatif mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan dan terus menyokong keperluan pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dengan jumlah dana yang diperoleh berjumlah RM3.8 bilion (2022: RM3.0 bilion).

Ekuiti pendanaan ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (pembiayaan P2P) telah membolehkan lebih 15,000 PMKS mengumpul lebih RM6 bilion sejak penubuhannya.

Walaupun penanda aras FBM KLCI merosot sebanyak 2.7%, indeks pasaran lain berakhir secara positif pada 2023, mencerminkan minat pelabur terhadap firma yang mempunyai potensi pertumbuhan yang lebih tinggi, khususnya segmen Permodalan Pertengahan dan Kecil.

Pada masa ini, pasaran ekuiti domestik adalah antara pasaran berprestasi terbaik di rantau ini, dengan FBM KLCI memperoleh hampir 7.0% setakat 12 Mac.

Manakala pasaran modal Islam Malaysia (ICM) berkembang sebanyak 4.5% kepada RM2.4 trilion pada 2023, dengan sukuk terkumpul berkembang sebanyak 7.4% dan ekuiti patuh Syariah sebanyak 1.5%.

Untuk mengukuhkan kelebihan daya saing ICM dan meningkatkan impak sosial dan ekonominya, SC telah mengeluarkan Panduan Maqasid Al-Shariah dan ini adalah kali pertama panduan sedemikian digunakan dalam pasaran modal. – MalaysiaGazette