Pastikan aplikasi pembelajaran tak 'curi masa' anak

Pastikan aplikasi pembelajaran tak 'curi masa' anak

saufi@mediaprima.com.my

Musim pembukaan semula sekolah untuk sesi 2026 pasti datang dengan satu ‘ritual wajib’ keluarga moden iaitu membeli alat tulis, susun jadual dan muat turun pelbagai aplikasi pembelajaran.

Namun isunya, tidak semua aplikasi itu betul-betul membantu.

Ada yang nampak cantik dan terlalu permainan atau ‘gamified’, tetapi sebenarnya cuma buat anak leka.

Ada juga yang terlalu padat, sampai anak cepat tertekan seterusnya hilang minat.

Dunia pendidikan digital hari ini, aplikasi pembelajaran sepatutnya menjadi alat sokongan bukan pengganti guru dan bukan juga ‘perangkap skrin’ yang mencuri masa.

Berikut 10 tips untuk ibu bapa dan murid memilih aplikasi pembelajaran yang benar-benar berkualiti, selamat selain berbaloi digunakan sepanjang persekolahan 2026.

1. Pilih aplikasi ikut keperluan sebenar, bukan ikut trend

Ramai tersilap langkah dengan memuat turun aplikasi kerana ia tular.

Hakikatnya, setiap anak berbeza, ada yang lemah matematik, ada yang mahir tetapi perlukan aplikasi latihan bahasa Inggeris.

Tentukan dulu masalah utama anak, kemudian barulah cari aplikasi yang spesifik untuk bantu. Lebih fokus, lebih cepat nampak hasil.

2. Cari aplikasi yang mengikut silibus Malaysia atau format peperiksaan

Ini tips paling penting kalau mahu aplikasi itu praktikal untuk sekolah: pastikan kandungan selari dengan silibus semasa (KSSR/KSSM) atau sekurang-kurangnya menepati kemahiran yang digunakan dalam peperiksaan.

Aplikasi yang terlalu umum ada kalanya bagus, tetapi tidak membantu apabila tiba waktu ujian.

3. Utamakan aplikasi yang ada struktur pembelajaran (‘learning path’)

Aplikasi yang bagus bukan sekadar kumpulan nota atau kuiz.

Ia sepatutnya ada perjalanan pembelajaran bermula daripada asas, kemudian meningkat ke tahap lebih mencabar.

Struktur ini mengelakkan penggunanya melompat-lompat topik dan akhirnya jadi keliru.

4. Elakkan aplikasi yang terlalu banyak iklan atau ‘pop-up’

Jika aplikasi penuh iklan, itu bukan aplikasi pembelajaran, itu medan ujian kesabaran.

Iklan yang agresif ganggu fokus dan ada risiko anak tertekan pautan tidak sesuai.

Untuk murid, ini sangat kritikal kerana mereka mudah tersilap klik.

5. Pilih aplikasi yang boleh digunakan ‘offline’ atau jimat data

Realiti Malaysia: bukan semua rumah ada Internet stabil atau data tanpa had, aplikasi yang membenarkan muat turun nota/latihan untuk offline sangat membantu.

6. Pastikan aplikasi ada kawalan ibu bapa

Aplikasi moden sepatutnya faham satu perkara, telefon bimbit bukan sekadar alat untuk belajar, tetapi juga ‘pintu ke dunia luar’.

Jadi, pilih aplikasi yang menyediakan ciri seperti:

– laporan kemajuan,

– had masa penggunaan,

– profil kanak-kanak,

– kawalan kandungan atau komuniti.

7- Cari aplikasi yang ada ‘feedback’ segera dan jelas

Aplikasi yang bagus akan terus beritahu murid:

– jawapan betul/salah,

– kenapa salah,

– cara betulkan.

Ini menjadikan pembelajaran lebih cepat, sebab murid belajar daripada kesilapan – bukan hafal semata-mata.

8. Pilih aplikasi yang ajar kefahaman, bukan hafalan

Ada aplikasi yang nampak bagus kerana banyak soalan, tetapi sebenarnya hanya mengulang perkara sama.

Pilih aplikasi yang ada penerangan ringkas, contoh dan latihan berbentuk aplikasi dunia sebenar (contohnya soalan berbentuk situasi, penyelesaian masalah, bukan MCQ kosong).

9. Utamakan aplikasi yang bantu bina disiplin (bukan ketagih)

Gamifikasi memang bagus, tetapi jika aplikasi terlalu ‘game’ hinggakan murid belajar kerana hendak mengumpul mata semata-mata, itu adalah perangkap.

Aplikasi terbaik ialah yang mendorong tabiat belajar konsisten: 20 – 30 minit sehari, bukan maraton sehingga tiga jam dan ‘burnout’.

10. Buat ujian 7 hari: jika tidak membantu, ‘uninstall’ tanpa rasa sayang

Cuba aplikasi seminggu. Kalau anak:

– makin keliru,

– makin tidak fokus,

– cepat tertekan, atau makin leka.

Ibu bapa perlu membuang aplikasi jika ada masalah berkenaan.

Sesi persekolahan 2026 semakin mencabar kerana murid selain pelajar berdepan dunia digital yang penuh gangguan, video pendek, gamifikasi, notifikasi tanpa henti.

Jika ibu bapa dan murid bijak memilih aplikasi, telefon pintar yang biasanya dituduh sebagai punca lalai sebenarnya boleh menjadi ‘senjata’ terbaik untuk membantu meningkatkan prestasi akademik, keyakinan diri dan disiplin belajar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top