KANGAR: Atlet memanah dari Majlis Sukan Sekolah Perlis, Nur Qaireen Umairah Norazlizal mencipta sensasi meraih enam pingat emas dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2026.
Pencapaian cemerlang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma itu sekali gus melayakkannya muncul pemanah wanita terbaik kejohanan.
Nur Qaireen turut membantu melengkapkan kecemerlangan pasukan memanah dari Perlis apabila gandingannya bersama Umair Kholid berjaya muncul juara memanah berpasukan campuran bawah 18 tahun selepas mengatasi cabaran pasangan dari Majlis Sukan Sekolah Johor.
Difahamkan, Nur Qaireen juga terpilih mewakili Malaysia bawah 18 tahun ke kejohanan Singapura Archery Youth Championship 2026 yang akan berlangsung pada 3 hingga 5 Julai depan.
Walaupun berdepan pelbagai rintangan, Nur Qaireen tetap berjaya mengekalkan fokus dan membuktikan kemampuannya sebagai antara prospek terbaik negara.
“Saya sangat bersyukur dengan pencapaian ini. Banyak cabaran yang perlu saya lalui termasuk kecederaan, tetapi saya tidak mahu menjadikannya alasan untuk menyerah kalah,” katanya.-UTUSAN




