Pasukan Petugas Aset 1MDB mempunyai peluang kukuh

Pasukan Petugas Aset 1MDB mempunyai peluang kukuh

BANGI: Pasukan Petugas Aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berkeyakinan tinggi kerana mempunyai peluang kukuh dan adil untuk berdepan pertikaian Goldman Sachs yang enggan membayar jaminan pemulihan bernilai AS$1.4 bilion (RM6.63 bilion) kepada kerajaan Malaysia.

Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Goldman Sachs hanya membayar AS$2.5 bilion (RM11.84 bilion), tetapi mereka tidak mahu memenuhi jaminan pemulihan aset AS$1.4 bilion sepertimana terkandung dalam perjanjian penyelesaian.

“Mengikut aku janji ialah dia (Goldman Sachs) akan bayar AS$2.5 bilion dan kemudian jaminan AS$1.4 bilion, tapi dia bayar AS$2.5 bilion, tapi bila babitkan $AS1.4 bilion dia tidak mahu bayar sebab mereka kata kita telah dapat pemulihan daripada dana dan penyelesaian lain yang kita buat, tetapi itu bukan pemulihan bagi Malaysia.

“Justeru, kami fikir kita mempunyai peluang adil dan kukuh untuk melawan abritasi ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) di sini hari ini.

JOHARI ABDUL GHANI

Untuk rekod, Perjanjian Penyelesaian yang dimeterai pada Ogos 2020 antara Kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs memerlukan pihak berkenaan untuk membayar tunai sebanyak AS$2.5 bilion dan memberikan jaminan pemulangan aset AS$1.4 bilion kepada kerajaan.

Terdahulu, Johari dalam satu kenyataan memaklumkan perunding dan peguam yang mewakili kerajaan pada masa itu gagal untuk mendapatkan penyelesaian yang adil dan mencukupi daripada Goldman Sachs.

“Untuk makluman orang ramai, 1MDB membayar advisory fee yang luar biasa tinggi sebanyak AS$606 juta (kira-kira RM2.87 bilion) kepada Goldman Sachs kerana memberi nasihat mengenai terbitan tiga bon berjumlah AS$6.5 bilion (kira-kira RM30.79 bilion).

“Pembabitan Goldman Sachs secara langsung dalam skandal 1MDB mengakibatkan ia didenda oleh pelbagai pengawal selia, termasuk Jabatan Kehakiman (DOJ), dengan jumlah AS$2.9 bilion (RM13.74 bilion),” katanya.

Tambah Johari, pihaknya mempertimbangkan prosiding undang-undang terhadap beberapa bank asing yang memudahkan pemindahan dana berkaitan 1MDB tanpa melaksanakan proses pengesahan Kenali Pelanggan Anda (KYC) dengan sewajarnya pada masa itu. – UTUSAN