‘Patatimo Boys’ berpecah, Nur Izzudin sah bersama Muhammad Haikal

‘Patatimo Boys’ berpecah, Nur Izzudin sah bersama Muhammad Haikal

PERSOALAN mengenai pasangan baharu pemain beregu lelaki negara, Nur Izzzuddin Rumsani terjawab apabila beliau disahkan bergandingan dengan Muhammad Haikal Nazri.

Situasi itu sekali gus menyaksikan gabungan Muhammad Haikal-Wan Muhammad Arif Wan Junaidi, yang diberi julukan ‘Patatimo Boys’, terpaksa dipecahkan setelah digandingkan sejak 2019.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, Wan Muhammad Arif pula akan dipasangkan dengan Yap Roy King, yang juga merupakan pemain beregu campuran bersama Valeree Siow.

Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas Nur Izzuddin menyatakan nekad untuk berpisah dengan pasangan beregunya, Goh Sze Fei atas alasan hilang kepercayaan.

“Secara jujurnya sejak dari Terbuka Jepun tahun lepas lagi Nur Izzuddin tidak gembira dengan Sze Fei. Sze Fei seolah-olah tidak mahu mendengar apa yang Nur Izzuddin cakap sehinggakan mereka balik berasingan ke sini.

“Kemudian ia terjadi lagi di Kejohanan Eropah iaitu Nur Izzuddin langsung tidak gembira, terus menghantar pesanan kepada saya bertanya mengenai masalah tersebut..,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan di sini, pada Selasa.

Rexy berkata, Nur Izzuddin sememangnya kecewa kerana tidak dapat memanfaatkan sebaiknya banyak peluang untuk melakar kejayaan akibat perselisihannya dengan Sze Fei.

Mereka yang dipasangkan pada 2016 hanya berjaya merangkul satu kejuaraan iaitu Terbuka Jerman 2022.

Rexy berkata pihak kejurulatihan telah menjalankan eksperimen ke atas gandingan Nur Izzuddin-Muhammad Haikal pada Cabaran Antarabangsa Malaysia 2022 di Ipoh, Disember lepas dan mereka muncul juara dengan menumpaskan Sze Fei-Goh Boon Zhe, 21-17, 21-16.

Pakar beregu dari Indonesia itu juga mengesahkan Sze Fei kini dipasangkan dengan Choong Hoon Jian selepas memaklumkan mereka berdua hampir pasti dipadankan, Jumaat lepas.

Sementara itu, Wan Muhammad Arif berkata, walaupun pada mulanya tergamam dan agak terkilan dengan keputusan tersebut, beliau kini berasa lega selepas berbincang dengan Rexy.

“Saya sememangnya sudah jangka perpisahan akan berlaku kerana apabila naik ke pasukan senior kena bersedia (hadapi perpecahan),” kata pemain berusia 20 tahun dari Terengganu itu

Muhammad Haikal yang juga berusia 20 tahun dari Kelantan pula berharap dapat memberikan aksi terbaik bersama Nur Izzuddin.

Dalam pada itu, Rexy memaklumkan Nur Izzuddin-Muhammad Haikal akan dihantar menyertai Terbuka Jerman, bulan depan.

Beregu baharu itu bersama Sze Fei-Hoon Jian serta Wan Muhammad Arif-Roy King akan turut beraksi pada empat kejohanan tahun ini iaitu Cabaran Antarabangsa Thailand, Ruichang China Masters, Cabaran Antarabangsa Vietnam dan Cabaran Antarabangsa Osaka. – Bernama