PATI berendam dalam saluran kumbahan, menyorok di rumah sampah dalam usaha elak ditahan

PATI berendam dalam saluran kumbahan,  menyorok di rumah sampah dalam usaha elak ditahan

hafidzul@hmetro.com.my

Klang: Sanggup terjun dari tingkat tiga, selain berendam dalam saluran kumbahan dan menyorok di rumah sampah. Itu tindakan nekad warga asing bagi mengelak dicekup dalam operasi bersepadu di kawasan perindustrian Pulau Indah, yang dijadikan ‘koloni’ mereka.

Bagaimanapun, tindakan itu membawa padah apabila semua mereka berjaya ditahan dalam operasi yang bermula pada 9.30 malam sehingga 12.30 tengah malam tadi.

Operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pengarah JIM Selangor, Khairul Aminus Kamarudin berkata, operasi itu dilakukan di sembilan blok rumah kedai membabitkan lebih 100 premis berdasarkan hasil risikan selama empat bulan.

Beliau berkata, 242 pegawai dan anggota pelbagai agensi terbabit dalam mengepung kawasan berkenaan.

“Dalam pemeriksaan ke atas 1,132 individu, seramai 662 warga asing ditahan kerana pelbagai kesalahan imigresen terdiri daripada 643 lelaki dan 19 perempuan berusia 16 hingga 80 tahun.

“Semua individu ditahan membabitkan warga Indonesia (643), Bangladesh (150), Pakistan (35), Myanmar (36), Nepal (24) dan India (10),” katanya pada sidang media di lokasi operasi.

Menurutnya, semua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat JIM Selangor untuk dokumentasi sebelum dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih.

“Antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa serta menggunakan kad tidak diiktiraf.

“Hasil pemeriksaan turut mendapati ada asrama pekerja asing yang tidak terurus dan perkara itu akan dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Khairul Aminus berkata, tindakan diambil selaras dengan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Kesalahan dikesan membabitkan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tiada pas atau dokumen perjalanan sah, Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) kerana melanggar syarat pas.

“Orang ramai dan majikan diingatkan supaya tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana tindakan tegas boleh diambil,” katanya.

Katanya, terdapat juga majikan yang memberi kerjasama dengan membawa pasport pekerja untuk pengesahan dan ini membuktikan tidak semua majikan melanggar undang-undang.

“Pekerja asing diperlukan di negara namun mereka mesti mematuhi peraturan ditetapkan serta bekerja secara sah.

“Operasi penguatkuasaan seperti ini akan diteruskan secara berterusan, bukan sahaja di Pulau Indah tetapi di seluruh Selangor,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top