KUALA TERENGGANU: Bekas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris mengingatkan bahawa sumpah dan baiah ahli Bersatu antara lain menetapkan kewajipan mematuhi arahan parti selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Beliau menegaskan demikian dalam media sosialnya sebagai respons terhadap kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berhubung sumpah dan baiah ahli parti yang mahu meninggalkan Bersatu atau bertukar kepada parti lain.
Semalam, Razali memberi bayangan akan meninggalkan Bersatu selepas kira-kira 10 tahun berada dalam kepemimpinan parti berkenaan. Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan secara terperinci mengenai perancangan seterusnya sebaliknya hanya menyatakan akan meneruskan perjalanan dengan wadah baharu.
Memuatkan artikel berkaitan…
Perkembangan itu mencetuskan persoalan mengenai hala tuju politik Razali, khususnya selepas beliau melepaskan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu pada Ogos lalu.
Mengulas mengenai sumpah dan baiah ahli Bersatu, Razali berkata, perkara pertama yang perlu dirujuk adalah lafaz untuk mematuhi Perlembagaan Bersatu, dasar-dasar perjuangan serta arahan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
“Saya bersumpah, Wallahi, Wabillahi, Watallahi untuk patuh kepada Perlembagaan parti serta dasar-dasar perjuangannya dan patuh kepada arahan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam,” katanya.
Beliau turut mempersoal perkembangan politik yang berlaku di Perlis dan meminta supaya perkara berkenaan dilihat dalam konteks sumpah dan baiah yang dilafazkan oleh ahli parti.
“Patuh arahan parti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Contoh apa yang berlaku di Perlis?” katanya.
Terdahulu, Tun Faisal mengingatkan ahli-ahli Bersatu mengenai kandungan sumpah dan baiah yang antara lain menetapkan tiga perkara utama. Perkara pertama menyebut ahli hendaklah mematuhi Perlembagaan Bersatu, dasar-dasar serta arahan parti.
Perkara kedua pula menyatakan bahawa jika seseorang ahli meninggalkan parti atau bertukar kepada parti lain, terdapat ketetapan berkaitan sumpah dan baiah termasuk mengenai penggunaan elaun ahli Dewan serta lafaz laknat yang dinyatakan dalam baiah tersebut.
Perkara ketiga menetapkan ahli berkenaan hendaklah meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan atau membayar RM10 juta kepada Bersatu sekiranya keluar atau dipecat daripada parti.
Tun Faisal turut menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai tazkirah dan peringatan kepada mereka yang terbabit supaya mengingati kembali lafaz sumpah dan baiah yang pernah dibuat. Perkembangan itu berlaku ketika isu kedudukan beberapa pemimpin dan ahli Bersatu yang dikaitkan dengan kemungkinan meninggalkan parti terus menjadi perhatian. – UTUSAN




