Taman Desa Cemerlang dah macam negara luar, peniaga asing bebas berniaga

Taman Desa Cemerlang dah macam negara luar, peniaga asing bebas berniaga

Johor Bahru: Kewujudan puluhan premis yang dipercayai diusahakan warga asing di sekitar Jalan Kenanga 3, Taman Desa Cemerlang, mencetuskan kebimbangan penduduk yang mahu status lesen dan pematuhan syarat perniagaan di kawasan itu diperiksa pihak berkuasa.

Penduduk, Ariani Marisah Abd Latif berkata, pelbagai jenis perniagaan dipercayai dikendalikan warga asing di kawasan berkenaan, termasuk kedai gunting rambut, gerai sirih, kedai jahit, kedai runcit dan gerai makanan ringan.

Menurutnya, antara persoalan utama penduduk ialah sama ada semua peniaga berkenaan mempunyai lesen sah dan mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

“Mereka bebas mengiklankan perniagaan dengan menggunakan bahasa ibunda mereka bagi menarik perhatian pelanggan terdiri daripada warga asing.

“Apabila pengunjung datang ke kawasan berkenaan, ia seolah-olah berada di luar negara apabila lokasi itu didominasi warga asing,” katanya.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ricky, 30-an, pula mendakwa pertambahan perniagaan berkenaan memberi tekanan kepada peniaga tempatan.

Katanya, keadaan itu turut menimbulkan persoalan sama ada berlaku pelanggaran syarat permit pekerjaan atau penggunaan lesen milik pihak lain untuk menjalankan perniagaan.

“Bayangkan sekiranya penduduk tempatan membuka gerai di tepi jalan, mereka akan dikenakan tindakan serta-merta.

“Bagaimana pula dengan peniaga asing yang bebas berniaga dan menggaji warga asing, mereka bertambah maju dan kebal,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Norhazlinda Abd Wahi, 45, berkata, kebimbangan penduduk bukan hanya berkaitan kegiatan perniagaan, malah turut membabitkan isu kebersihan di kawasan berkenaan.

“Keadaan menjadi lebih ketara pada hujung minggu apabila mereka berkumpul dan bebas membuang sampah.

“Malah, di laluan berkenaan juga terdapat kesan tompokan merah sisa sirih di kaki lima kedai hingga menjejaskan penduduk tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, dakwaan penduduk mengenai pemilikan, pengendalian dan status lesen premis yang dipersoalkan itu belum disahkan pihak berkuasa.

Sebagai latar belakang, Taman Desa Cemerlang berada dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), manakala Jalan Kenanga 3 turut disenaraikan sebagai antara jalan di kawasan berkenaan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.

Menurut portal rasmi MBJB, semua premis perniagaan dalam kawasan pentadbirannya perlu mempunyai Lesen Premis Perniagaan dan menjalankan operasi mengikut syarat yang ditetapkan.

Berniaga tanpa lesen adalah satu kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBJB) 2004.

MBJB turut menjelaskan bahawa premis bagi kategori lesen perniagaan tred dibenarkan menggajikan pekerja warga asing yang mempunyai permit kerja sah, namun warga asing tidak dibenarkan bekerja bagi kategori lesen penjaja.

Jabatan Imigresen Malaysia pula menetapkan pekerja asing hanya dibenarkan bekerja mengikut sektor, majikan dan syarat pas yang diluluskan serta tidak boleh bertukar pekerjaan atau majikan tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Justeru, status sebenar setiap premis dan individu yang menjalankan perniagaan di kawasan itu perlu ditentukan melalui semakan lesen, permit serta dokumen berkaitan oleh agensi penguat kuasa berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top