PDRM, China jalin kerjasama baharu cegah jenayah transnasional

PDRM, China jalin kerjasama baharu cegah jenayah transnasional

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Menteri Keselamatan Awam Republik Rakyat China bagi membincangkan dan mengukuhkan hubungan dalam penyelidikan serta pembangunan kepolisan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam satu hantaran di Facebook, menyatakan pertemuan bersama Sun Maoli itu diadakan di kementerian berkenaan dalam rangka lawatan kerja ke negara Asia Timur tersebut, bermula Isnin lalu.

Menurut kenyataan itu, Razarudin menyatakan bahawa hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, yang bermula sejak abad ke-14, kini telah memasuki fasa baharu serta semakin kukuh melalui pelbagai kerjasama, termasuk dalam bidang kepolisan, yang memberikan impak besar kepada PDRM.

“Dalam nota perbincangan bersama, beliau berkata PDRM di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia bekerjasama dengan China untuk memeterai perjanjian bagi mencegah dan memerangi jenayah transnasional membabitkan tiga kumpulan sasaran kerja iaitu bidang keselamatan, imigresen dan kepolisan.

“Tegas beliau, kerjasama PDRM dengan Kementerian Keselamatan Awam China penting dalam menangani pelbagai isu dan ancaman jenayah di peringkat global yang dihadapi oleh kedua-dua negara bersahabat,” menurut kenyataan itu.

Antara isu utama jenayah yang disentuh dalam perbincangan itu termasuk penyeludupan dadah dan senjata api, bahan letupan berbahaya termasuk kimia, biologi, dan sisa toksik, jenayah siber, perjudian dalam talian, serta pelacuran yang membabitkan wanita dari China.

“Dalam pertemuan dengan Sun Maoli, Tan Sri Razarudin turut menyatakan hasrat PDRM untuk meneroka peluang teknologi pengawasan terkini yang digunakan di China, termasuk sistem pengecaman wajah dan kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan.

“Beliau juga melahirkan hasrat untuk berkolaborasi dalam beberapa bidang tertentu yang diyakini dapat memperkukuhkan keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang negara,” katanya.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa, sebagai ketua delegasi PDRM dalam siri lawatan kerja ke China tahun ini, Razarudin mengambil kesempatan memperkukuhkan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepolisan dengan pihak berkuasa China.

Beliau menegaskan hasrat untuk menjadikan Maktab PDRM Kuala Lumpur sebagai pusat rujukan pembelajaran dan pertukaran kepakaran dalam hal ehwal jenayah. Dalam masa yang sama, beliau mempelawa China untuk berkongsi kepakaran mereka dengan Malaysia serta negara serantau di Asia Tenggara melalui program Training of Trainers.

“Hasrat itu dizahirkan melalui kesediaan PDRM untuk menyediakan kemudahan fasiliti bagi pakar-pakar pencegahan jenayah dari China di Maktab PDRM KL. Ini bertujuan untuk perkongsian data dan pertukaran maklumat jenayah demi manfaat rakyat di kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir dalam pertemuan dua hala itu ialah Presiden Universiti Keselamatan Awam China, Wang Yi; Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ekonomi Kementerian Keselamatan Awam China, Ou Yang; Timbalan Pengarah Jabatan Sains dan Teknologi China, Zu Yhongji; serta Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Kementerian Keselamatan Awam China, Fu Dongsheng.

Delegasi PDRM pula diwakili oleh Timbalan Pengarah (Dasar Sumber Manusia) Bukit Aman, Datuk Mohd Roze Shaari; Ketua Urus Setia KPN (Perhubungan Antarabangsa), Datuk Suparamaniam Ramasamy; dan Superintendan Perhubungan Antarabangsa Bukit Aman, Superintendan Loh Peyi Pey.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top