suhadmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan hantaran tular di media sosial yang mendakwa Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara mengadakan sidang media khas di Bukit Aman berkaitan satu operasi.
Setiausaha PDRM, Datuk Mohamad Noor Yusof Ali berkata, hantaran berkenaan adalah palsu dan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ibrahim Darus tidak pernah mengadakan sidang media atau mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang digambarkan dalam hantaran itu.
“PDRM menegaskan bahawa hantaran tersebut adalah palsu.
“Kandungan yang disebarkan telah menggunakan imej dan identiti palsu serta kedudukan Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara bagi mewujudkan gambaran seolah-olah kenyataan tersebut merupakan pendirian rasmi PDRM.
“Perbuatan sedemikian berpotensi mengelirukan masyarakat, mencetuskan salah faham serta menjejaskan kredibiliti individu dan institusi PDRM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, beliau berkata, PDRM sudah membuat laporan polis bagi mengenal pasti pihak yang menghasilkan dan menyebarkan kandungan berkenaan.
Katanya, siasatan turut akan meneliti motif dan tujuan kandungan itu disebarkan.
“PDRM memandang serius sebarang tindakan menghasilkan, memanipulasi atau menyebarkan kandungan palsu dengan menggunakan identiti, imej atau kedudukan mana-mana pegawai dan anggota pasukan bagi memberikan gambaran bahawa sesuatu kenyataan atau tindakan tersebut adalah rasmi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Menurutnya, orang ramai juga diminta mendapatkan pengesahan daripada saluran rasmi PDRM dan sumber berita yang sahih.
“PDRM turut menyeru masyarakat supaya menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab.
“Selain itu, tidak terlibat dalam penyebaran kandungan yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial satu hantaran yang memaparkan visual dan teks seolah-olah Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara mengadakan sidang media khas di Bukit Aman berkaitan satu operasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd
