Hutang kutu: Suami isteri disambung reman 2 hari lagi

am@hmetro.com.my

Jitra: Tempoh reman terhadap suami isteri yang hilang sejak 20 Julai lalu akibat hutang duit kutu dan menyerah diri kepada polis, Khamis lalu disambung dua hari lagi untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, suami isteri berusia 39 dan 36 tahun itu disambung reman bermula hari ini selepas direman empat hari sejak Khamis lalu.

Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Media sebelum ini melaporkan, tiga beranak dilaporkan hilang dan gagal dihubungi selepas keluar dari rumah mereka di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam, sejak 20 Julai lalu.

Bapa wanita terbabit yang berusia 62 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Kayu Hitam Isnin lalu.

Polis tidak menolak kemungkinan kehilangan mereka mempunyai kaitan dengan hutang bermain kutu susulan laporan polis diterima daripada seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM25,000.

Mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada awal pagi Khamis lalu jam 1.50 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top