Empat jam bawa turun penuntut UA cedera ketika daki Gunung Baling

am@hmetro.com.my

Baling: Pasukan bomba membantu membawa turun seorang penuntut sebuah universiti awam (UA) yang cedera selepas tergelincir ketika mendaki Gunung Baling, hari ini.

Difahamkan, wanita berusia 24 tahun itu dipercayai mendaki di gunung itu bersama 10 rakan, namun akibat kejadian itu, rakan-rakan mangsa terpaksa menghubungi pasukan bomba untuk meminta bantuan.

Mereka mengambil keputusan itu selepas masing-masing keletihan, selain tiada kemahiran untuk membawa mangsa turun dan bimbang berdepan risiko yang lebih cemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.42 tengah hari.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dari BBP Baling yang diketuai Mohd Basri Othman bergegas ke lokasi melakukan penyelamatan.

“Anggota bomba melakukan pendakian sejauh 1.3 kilometer (km) untuk membawa mangsa turun sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.

“Mangsa cedera di bahagian lutut akibat tergelincir dan operasi membawa turun mangsa mengambil masa lebih empat jam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, cabaran utama adalah permukaan gunung bercerun dan tanah licin serta berbatu.

“Bagaimanapun, operasi sepanjang empat jam berjaya dilaksanakan tanpa sebarnga kecederaan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang awam yang ingin mendaki bukit atau gunung di daerah ini supaya memastikan status kesihatan dalam keadaan baik serta merujuk agensi berkaitan supaya pemantauan pergerakan mudah dilakukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top