hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkukuh tindakan rentas sempadan bagi memerangi sindiket antarabangsa penyeludupan dadah ke Malaysia.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, usaha membanteras sindiket dadah rentas sempadan sememangnya fokus utama PDRM dalam memastikan keselamatan negara.
Katanya, melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), pihaknya secara berterusan menumpukan pemantauan terhadap jaringan pengedaran dadah antarabangsa.
“Modus operandi utama sindiket ini adalah menggunakan laluan laut dan kontena kargo,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mohd Khalid mendedahkan, satu kes yang mendapat perhatian antarabangsa ialah rampasan 336 kilogram heroin oleh Australian Border Force (ABF) pada 13 Mac 2023.
“Hasil siasatan bersama mendapati kontena berkenaan dipercayai transit melalui Pelabuhan Klang sebelum ke destinasi akhir di Australia. Kejadian ini menjadi asas pengukuhan kepada usaha mempertingkat kawalan dan risikan bersama di peringkat serantau,” katanya.
Berikutan insiden itu, PDRM dan Australian Federal Police (AFP) bersetuju menubuhkan satu Pasukan Petugas Bersama (Joint Taskforce) semasa Persidangan Agung INTERPOL di Glasgow, Scotland pada 6 November 2024.
Menurut beliau, pasukan itu memberi tumpuan khusus kepada sindiket dadah transnasional yang beroperasi antara Malaysia dan Australia, terutamanya yang menggunakan perkhidmatan kontena kargo.
Mohd Khalid berkata, kerjasama erat di bawah ‘Joint Taskforce’ itu membuahkan hasil besar menerusi beberapa operasi.
“Antara kejayaan terbesar adalah pada 25 Januari lalu iaitu rampasan 33.2 tan syabu bernilai RM1.062 bilion di Pelabuhan Klang. Kontena itu dipercayai berasal dari Asia Tengah dan transit di Malaysia sebelum menuju ke Australia.
“Selain itu, pada 7 November tahun ini, rampasan 45 kilogram syabu bernilai RM1.44 juta. Dadah itu disembunyikan dalam ruang khas di bahagian atas kontena kargo yang juga dari Asia Tengah dan transit di Pelabuhan Klang untuk ke Australia.
“Hasil kerjasama strategik ini membuktikan keupayaan dan komitmen tinggi PDRM dalam memperkukuh perkongsian risikan antarabangsa bagi membanteras penyeludupan dadah berskala besar,” katanya.
Menurutnya, seiring dengan pendirian tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, PDRM menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta mengancam keselamatan negara.
Katanya, PDRM akan terus memperhebat risikan, operasi dan kerjasama antarabangsa bagi memastikan setiap bentuk ancaman dadah dapat dikekang secara berterusan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




