PDRM siasat individu ugut 4 Ahli Parlimen, Adun melalui video lucah palsu

PDRM siasat individu ugut 4 Ahli Parlimen, Adun melalui video lucah palsu

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima empat laporan polis daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung ugutan melalui penyebaran video lucah palsu.

Laporan dibuat Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Nelson W Angang; ADUN Kulim, Wong Chia Zhen dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk M Kumar berkata, mereka mendakwa menerima emel daripada sumber tidak dikenali pada 12 September lalu.

“Suspek menuntut bayaran AS$100,000 (kira-kira RM420,000) bagi video yang disyaki dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan pemerasan.

“Sekiranya permintaan tidak dipatuhi dalam tempoh tiga hari, satu video palsu berunsur lucah yang menggunakan wajah mereka akan disebarkan di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua laporan disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, PDRM turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi mengesan pemilik emel serta memperoleh maklumat berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut.

Menurut Kumar, PDRM memberi amaran keras bahawa mana-mana pihak terbabit menghasilkan, menyebarkan atau menggunakan bahan sedemikian akan diambil tindakan tegas dan tanpa kompromi.

Tambahnya, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan, ketenteraman awam serta keharmonian negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top