sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly-Thinaah mempamerkan kebangkitan yang cukup cemerlang dan menjadi wakil negara pertama menempah tiket ke final selepas menundukkan gandingan China, Li Yi Jing-Luo Xu Min di separuh akhir Terbuka Indonesia, hari ini.
Meskipun tewas di set pertama, Pearly-Thinaah berjaya mengubah corak permainan dan mengurang kesilapan untuk menang dalam pertarungan tiga set 12-21, 21-17, 21-11 dalam masa 64 minit.
Pujian perlu diberikan kepada mereka terutama di set ketiga apabila menguasai penuh permainan dan gelanggang serta terus menjarakkan kedudukan tanpa membenarkan Yi Jing-Xu Min mengejar merapat kedudukan mata.
Istora Senayan seperti tuah buat wakil negara itu apabila sebelum ini di Masters Indoensia juga menyaksikan mereka ke pentas akhir di stadium yang sama dan ini juga final yang ketiga mereka bagi tahun 2025.
Kemenangan itu membolehkan wakil negara merekodkan pertemuan 1-1 selepas kali terakhir mereka berjumpa di Terbuka China tahun lalu yang menyaksikan keputusan memihak kepada pasangan negara Tembok Besar itu.
Kejayaan mara di perlawanan akhir membolehkan beregu nombor empat dunia itu berpeluang untuk menambah koleksi kejuaraan kedua musim ini selepas muncul juara sulung di Masters Thailand bulan lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




