Pecah rekod dunia, 39 hari luncur dari California ke Florida

Pecah rekod dunia, 39 hari luncur dari California ke Florida

Los Angeles: Seorang peluncur papan selaju berjaya menempuh perjalanan dari California ke Florida dalam tempoh hanya 39 hari demi memecahkan Rekod Dunia Guinness, baru-baru ini.

Memetik laporan United Press International (UPI), Chad Caruso melakukan perjalanan sejauh lebih 3,000 batu (4,828 kilometer) bermula dari Venice Beach, California hingga ke Jacksonville, Florida antara 1 Mei hingga 8 Jun lalu.

Sepanjang tempoh berkenaan, beliau mencatatkan purata perjalanan konsisten sejauh 72 batu (116 kilometer) sehari.

Caruso yang merakamkan keseluruhan pengembaraan mencabar itu menerusi saluran YouTube miliknya sebelum ini pernah mencipta rekod larian papan selaju dari Venice Beach ke Virginia Beach, Virginia pada 2023.

Rekod terdahulu itu disempurnakan dalam tempoh 57 hari, enam jam dan 56 minit sekali gus melayakkannya menerima pengiktirafan Rekod Dunia Guinness bagi penjelajahan rentas Amerika paling pantas menggunakan papan selaju.

Menurutnya, misi terbaharu itu bertujuan untuk memecahkan rekod lamanya di samping meraikan ulang tahun ke-10 kejayaannya bebas daripada ketagihan alkohol dan dadah.

“Luncur papan selaju adalah perkara utama yang menyelamatkan saya daripada terus terjebak dengan masalah sosial.

“Saya melakukannya sepanjang hidup saya dan sangat taksub dengan aktiviti larian ini sebelum ini,” katanya.

“Bagaimanapun, saya mengalami kecederaan fizikal yang serius sehingga memaksa saya untuk berhenti seketika,” katanya.

“Namun, selepas kembali aktif dalam sukan ini, segala-galanya berubah menjadi jauh lebih baik,” katanya ketika ditemubual Action News Jax.

Perjalanan rentas negara yang dilakukan olehnya itu juga berjaya mengumpul dana sumbangan kebajikan untuk disalurkan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Natural High.

Pertubuhan berkenaan aktif dalam menjalankan kempen kesedaran yang menggalakkan kanak-kanak supaya kekal aktif serta menjauhi penyalahgunaan dadah dan alkohol.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top