544 mesin Bitcoin haram jadi 'sampah'

544 mesin Bitcoin haram jadi 'sampah'

am@hmetro.com.my

Parit: Sebanyak 554 unit mesin perlombongan Bitcoin dimusnahkan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah membabitkan anggaran nilai keseluruhan RM252,200.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, pelupusan barang kes bagi tempoh antara tahun 2024 hingga 2026 itu membabitkan sebanyak 25 kertas siasatan yang sudah diselesaikan.

Katanya, selain 554 unit mesin Bitcoin, barang kes berkaitan Bitcoin yang turut dilupuskan membabitkan 24 unit desktop switch, 24 unit router internet, dan 26 unit kabel.

Menurutnya, selain kes Bitcoin, barang kes yang turut dilupuskan adalah enam unit, 161 unit kontraban, lima kenderaan dan 30 barang kes perjudian.

“Pelupusan turut membabitkan pelbagai barang kes seperti motosikal, peralatan judi, rokok tidak bercukai dan peralatan yang digunakan dalam aktiviti jenayah.

“Kesemua barang kes sudah mendapat arahan pelupusan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa iaitu mengikut Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah,” katanya dalam sidang media majlis pelupusan itu di perkarangan IPD berkenaan di Seri Iskandar, di sini, tadi.

Hadir menyaksikan pelupusan itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Perak, Senior Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid dan Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Hazizi Esa.

Kata Hafezul Helmi, nilai barang kes yang dilupuskan menggambarkan kejayaan pihak polis dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang serta membanteras pelbagai aktiviti jenayah yang berlaku di daerah Perak Tengah dan kawasan sekitar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top