Pecah tembok 'kebisuan' dunia

Pecah tembok 'kebisuan' dunia

Rela mengenepikan kepentingan peribadi dan berkorban meninggalkan keluarga, mereka membuktikan kekentalan jiwa menerusi penyertaan dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, baru-baru ini.

Mereka sanggup berdepan tentera Israel semata-mata mahu memecah sikap dunia yang ‘membisu’ mengenai kekejaman dan derita yang dilalui rakyat Palestin sejak puluhan tahun.

Meskipun pemergian mereka mendapat kecaman segelintir pihak, namun cabaran dan dugaan getir sepanjang misi itu berjaya ditempuhi dalam mencapai matlamat perjuangan sebenar.

Aktivis kemanusiaan Zizi Kirana, Nur Heliza dan adiknya Nur Hazwani Afiqah Helmi serta Farah Lee berkongsi pengalaman bersama wartawan Metro Ahad, Norhayati Nordin dan Khirrul Nirwan Bahaudin.

Zizi Kirana, 40 (kapal Huga)

“Sejujurnya setiap apa yang terjadi sepanjang dalam pelayaran itu, sama ada berdepan ujian dan cabaran, saya memang sudah reda dan tawakal kerana yakin Allah sudah berikan yang terbaik.

“Saya jadikan ia sebagai pengalaman, pengajaran serta kekuatan untuk terus berada dalam misi itu, tak sedikit pun dianggap sebagai kenangan pahit.”

Berkongsi lanjut, Zizi berkata, apa yang dilaluinya sepanjang misi GSF adalah proses kehidupan, namun tentera Israel tiada sifat perikemanusiaan kerana melanggar hak kemanusiaan ke atas peserta-peserta.

“Ada beberapa kejadian sebagai contoh, ketika diturunkan di Ashdod (selatan Israel) selepas ditahan tentera Israel, kami tidak diberi hak untuk menutup aurat.

“Malah, terdapat seorang mak cik dan peserta lain yang sudah berusia dalam kesakitan serta amat memerlukan ubat, tetapi mereka dibiarkan.

“Bila kita jerit minta dibawakan doktor dan ubat, tapi kita dapat jawapan yang memang sangat kecewa, dalam hati itu, Ya Allah memang betullah kau (tentera Israel), manusia yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Menurutnya, tentera Zionis sememangnya kejam kerana tergamak membiarkan peserta GSF yang berusia menahan kesakitan.

“Ada juga peserta yang perlukan insulin, memang mereka bagi insulin, tapi tiada ubat dalam insulin itu. Bayangkan mereka tiada perikemanusiaan.

“Mereka tak bagi air, apa semua, ia lebih kepada hak-hak kemanusiaan dan memang tidak diberi oleh tentera Israel terhadap peserta-peserta yang memerlukan.

“Macam saya sepanjang dalam sel (penjara), Alhamdulillah saya tenang sahaja, saya dengan Ardell (Aryana) dan kami lalui sama-sama dalam satu sel,” katanya.

Katanya, dia juga bersyukur kerana dapat makan minum walaupun sekeping roti dan memohon keselamatan kepada Allah.

“Alhamdullillah, kami minum air paip, dapat sekeping roti walaupun pada awalnya was-was tapi akhirnya kami yakin.

“Kami berdoa kepada Allah semoga makanan itu tidak mendatangkan mudarat kerana perlu teruskan perjuangan untuk membantu saudara di Palestin. Dugaan yang kami lalui sangat sedikit dibandingkan saudara kita itu,” katanya.

Ditanya juga memori indahnya sepanjang mengikuti pelayaran GSF itu, katanya, dia dapat berjumpa sahabat-sahabat daripada 44 negara yang lain.

“Apa yang saya lihat semangat, walaupun mereka bukan Muslim, tapi mereka sanggup demi kemanusiaan.

“Betapa kecintaannya mereka terhadap orang-orang Palestin itu, mereka sanggup redah lautan, darat semata-mata untuk membela rakyat Palestin di Gaza.

“Yang itu saya rasa satu memori indah. Saya dapat berkongsi pengalaman dengan mereka, berkongsi kisah, ujian dan juga cabaran sepanjang pelayaran, Alhamdulillah,” katanya.

Mengulas juga mengenai apa yang menguatkan hatinya untuk menyertai GSF, Zizi berkata, sejujurnya Allah yang menguat dan menggerakkan hatinya untuk bersama-sama dalam misi berkenaan.

“Apabila saya melihat keadaan rakyat Gaza yang tidak dapat pembelaan, yang disenyapkan, yang tidak diendahkan dan dizalimi dengan sangat-sangat zalim. Mereka kehilangan, sakit, kelaparan, tak ada tempat berteduh, tak ada keluarga, isteri, anak, suami.

“Mereka kehilangan segala-galanya. Bila saya nampak benda itu berterusan, mungkin Allah buka hati saya untuk ‘kau kena buat sesuatu untuk saudara yang berada di Palestin’.

“Gunakan kelebihan yang Allah bagi untuk membantu saudara di Palestin. Alhamdulillah, ramai orang di sekeliling saya yang sokong termasuk di media sosial. Orang-orang yang sentiasa mendoakan kerana mereka yang memberi kekuatan untuk saya sertai misi GSF,” katanya.

Katanya, sebagai manusia, dia perlu membantu rakyat Palestin dan Rasulullah SAW pun pernah menjelaskan tentang kasih sayang dan kesatuan umat Islam.

“Jika ada satu anggota tubuh sakit, seluruh anggota tubuh yang lain akan turut merasakan, maknanya setiap Muslim adalah bersaudara dan wajib membantu serta peduli terhadap setiap penderitaan orang Islam lain, tak kiralah di mana sahaja berada.

“Itu juga antara sebab-sebab yang menguatkan saya untuk menyertai misi ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top