Pecutan Azeem makin pantas

Pecutan Azeem makin pantas

PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi terus mempamerkan peningkatan prestasi apabila merekodkan catatan 10.11 saat (s) pada saringan 100 meter (m) Kejuaraan Trek dan Padang SEC di Lousiana, pada awal pagi Sabtu.

Ia sekali gus menyaksikan Azeem yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat hampir untuk memecahkan rekod miliknya sendiri yang dibuat pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia tahun lalu.

Penuntut Auburn State University di Alabama itu mengakhiri saringan di kedudukan kedua di belakang rakan sepasukannya, Favour Ash yang melakar catatan terpantas 10.06s

Azeem akan turun sekali lagi pada aksi final pada Ahad dan berpeluang untuk memperbaiki catatannya itu.

Sebelum ini, Azeem melakar 10.14s untuk menamatkan saingan di tempat ketiga pada Perlumbaan East Coast di Florida, bulan lalu.

Selain itu, Azeem juga turut beberapa kali mencuri perhatian menerusi acara pecut 60 m lelaki dalam dewan apabila berjaya mencatat 6.62 s di kejohanan Tiger Paw Invitational, South Carolina pada Februari lalu.

Ia sekali gus memadam rekod yang dipegang pemenang pingat perak Kejohanan Asia 1998, Watson Nyambek yang mencatat 6.66s pada Kejohanan Dunia 1999 di Maebashi, Jepun.