Pegawai AADK cedera diserang ketika operasi

Pegawai AADK cedera diserang ketika operasi

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) cedera diserang dalam operasi di premis cuci kereta di Jalan Kerinchi, di sini, hari ini.

Pegawai lelaki berusia 48 tahun itu luka di tapak tangan dan ibu jari kanan akibat dihiris dengan pisau oleh lelaki dipercayai penagih dadah.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada rakan sekerja mangsa pada 5.08 petang.

Menurutnya, suspek berusia 46 tahun pada mulanya sudah ditahan dan diarah melakukan ujian saringan air kencing, namun lelaki itu enggan sebelum bertindak agresif serta melarikan diri.

“Susulan itu, mangsa mengalami kecederaan luka di tapak tangan kanan dan ibu jari kanan akibat dihiris dengan senjata pisau oleh suspek,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pegawai AADK terbabit menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), manakala usaha mengesan suspek sedang dilakukan untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top