Pegawai dan anggota polis di Perlis serta Kedah terima vaksin

Kangar: Seramai 1,760 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi dua fasa yang ditetapkan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, pihaknya sudah merangka penjadualan pengambilan vaksin bagi pegawai dan anggota yang bertugas dengan ibu pejabat polis negeri itu.

“Pada hari ini, kita sudah mula menerima suntikan vaksin Covid-19 yang diperuntukkan kepada barisan hadapan di Perlis seramai 1,760 individu dijangka akan menerima suntikan bagi Fasa satu hingga tiga.

“Diharapkan, setelah saya menerima vaksin ini pada 1 Mac lalu, anggota yang lain juga dapat berbuat demikian dan saya yakin semua yang menerima vaksin ii berada dalam keadaan sihat dan tiada masalah kesihatan dalam pengambilan vaksin ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Operasi Pemberian Vaksin Covid-19 kepada Petugas Barisan Hadapan peringkat Polis Kontinjen Perlis di Dewan Serbaguna, IPK Perlis hari ini.

Katanya, pihaknya mensasarkan sebanyak 1,700 anggota polis di negeri itu mampu diberikan suntikan vaksin ini sehingga fasa kedua dan selebihnya pada fasa ketiga.

“Bermula hari ini sehingga Jumaat ini, dijadualkan antara 200 hingga 300 anggota polis di sini akan menerima suntikan yang mana mana pada hari pertama hari ini seramai 216 sudah menerima suntikan ini.

“Saya melihat semua anggota tiada masalah untuk menerima suntikan ini cuma ada segelintir anggota dan kakitangan kita yang hamil serta simptom penyakit lain tidak dibenarkan menerima suntikan vaksin ini,” katanya.

Sementara di Kedah, Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan mengetuai 200 anggota dan pegawai polis Kontinjen Kedah menerima suntikan vaksin sempena Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Frontline Kontinjen Kedah, hari ini.

Selain itu, Timbalannya, Datuk Mohd Roze Shaari dan semua Ketua Jabatan Kontinjen dan anggota serta pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar turut menerima suntikan vaksin berkenaan bermula jam 9.15 pagi.

Hasanuddin berkata, seramai 600 jumlah anggota dan pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan IPD Kota Setar akan menerima suntikan vaksin selama tiga hari bermula hari ini.

Beliau berkata, program ini akan berterusan sehingga Rabu ini dan suntikan diberi secara berperingkat mengikut kumpulan.

“Setakat ini tak ada apa yang berlaku dan tak sakit ketika suntikan vaksin dilakukan.

“Saya berharap orang ramai perlu mendaftar melalui aplikasi My Sejahtera untuk menerima suntikan vaksin ini dalam usaha untuk menamatkan penularan wabak Covid-19 ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media di IPK

Hasanuddin berkata, secara keseluruhan seramai 4,477 petugas PDRM di Kontinjen Kedah akan diberi suntikan vaksin secara berperingkat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Scroll to Top