hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan siasatan lanjut ke atas pegawainya yang terbabit ketika pemeriksaan mengejut di pusat hiburan di sini kepada polis.
SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh dalam menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan.
“Sehubungan itu, SPRM juga sudah membuka satu Kertas Siasatan dalaman bagi meneliti secara terperinci pembabitan pegawai berkenaan untuk memastikan sama ada berlaku sebarang pelanggaran kod etika perkhidmatan atau undang-undang.
“SPRM menegaskan bahawa pihak Suruhanjaya tidak akan berkompromi sekiranya mana-mana pegawainya didapati melanggar undang-undang atau mencemarkan integriti institusi ini,” katanya.
Menurutnya, tindakan tegas akan diambil berdasarkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti yang menjadi teras perjuangan SPRM.
“SPRM kekal komited untuk memelihara integriti perkhidmatan awam dan memastikan kepercayaan rakyat terhadap usaha membanteras rasuah tidak terjejas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




