am@hmetro.com.my
Kulim: Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah mengalami kecederaan ketika melaksanakan operasi penguat kuasaan Ops Sapu di sebuah tapak pembinaan di Padang Meha, di sini semalam.
JIM dalam kenyataannya berkata, kejadian berlaku ketika pasukan operasi menjalankan pemeriksaan dan serbuan ke atas premis terbabit.
Dalam situasi itu, beberapa individu cuba melarikan diri ketika hendak diperiksa dengan bersembunyi di kawasan berbahaya seperti bumbung bangunan dan mesin-mesin di sekitar premis, menyebabkan berlaku keadaan kelam-kabut di lokasi.
Ketika operasi dijalankan, pegawai yang terbabit dalam operasi itu turut melaksanakan pencarian dan penggeledahan di kawasan bumbung bagi mengesan saki-baki individu yang dipercayai bersembunyi.
“Ketika dalam usaha mengawal keadaan serta memastikan keselamatan pasukan, pegawai berkenaan dipercayai terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian tangan.
“Pegawai terbabit diberikan rawatan awal dan disahkan berada dalam keadaan stabil dan dirujuk ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut,” kata kenyataan itu lagi.
Operasi yang dijalankan hasil maklumat orang awam itu membabitkan seramai 25 pegawai dan bermula pada jam 10 pagi.
Operasi itu, seramai 155 individu diperiksa dan hasilnya 119 lelaki yang terdiri daripada warganegara China, India, Bangladesh dan Pakistan berjaya ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM Kedah memandang serius aspek keselamatan pegawai semasa menjalankan tugas dan akan terus menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan kejadian seumpama ini tidak berulang.
Pada masa sama, jabatan kekal komited dalam mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



