am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Barisan peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, pelajar tahfiz yang meninggal dunia dipercayai dibunuh pada Disember 2013, sudah mengadakan pertemuan dengan pihak polis Bukit Aman, Khamis lalu.
Peguam Dr Zulqarnain Lukman berkata, perjumpaan mereka dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membincangkan mengenai siasatan kes.
Katanya, pihaknya sebagai wakil keluarga Allahyarham juga memaklumkan mengenai perspektif baharu kes termasuk perlu memanggil beberapa saksi lain.
“Ini berikutan saksi-saksi berkenaan tidak dipanggil untuk memberi keterangan sebelum ini.
“Kita juga membincangkan saksi-saksi yang sudah memberi keterangan sebelum ini perlu diambil keterangan lanjut berikutan kemungkinan mereka akan memberi kenyataan lanjutan yang tidak diberikan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, polis juga meminta pihaknya terus berhubung dengan polis untuk memberi maklumat saksi yang tidak dipanggil.
Menurutnya, jika sebelum ini polis Kelantan yang membuat siasatan kes itu dan peguam meminta supay Polis Bukit Aman pula untuk membuat siasatan kes kerana kemungkinan mereka mempunyai perspektif yang berbeza.
“Justeru, kita berharap Bukit Aman akan memanggil saksi-saksi berkenaan bagi membantu siasatan kes,” katanya.
Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar tingkatan empat ditemukan mati tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman di Kok Lanas, dekat sini.
Jasadnya dilaporkan ditemukan penyelia asrama selepas menghidu bau busuk daripada dalam tandas.
Pakar forensik yang melakukan bedah siasat mengesahkan kes sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.
Bagaimanapun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian pelajar itu disebabkan dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




